Polis maut dalam kemalangan

Polis maut dalam kemalangan

Seorang anggota polis ditemui meninggal dunia bersama motosikal berkuasa tinggi di Kilometer 337.5 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, awal pagi tadi.

Mangsa, Muhamad Fadzil Sabudin, 33, menunggang motosikal jenis Yamaha XJ 600, dikenal pasti sebagai anggota polis di bertugas Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata polis menerima maklumat kemalangan itu daripada orang awam kira-kira jam 3.00 pagi.

Katanya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa bersama motosikal berada di tepi lebuh raya dan disahkan meninggal di tempat kejadian.

Hasil siasatan, mangsa disyaki melanggar bahagian belakang kenderaan berat berdasarkan kerosakan pada motosikal terbabit tetapi kenderaan dilanggar tiada di tempat kejadian.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke Ipoh, Perak.

Katanya, polis memohon saksi yang melihat kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Ruzainal Anan Ruslan di talian 0124500968 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/kes/2021/01/772763/polis-maut-dala