Polis Kelantan kesan personaliti disyaki langgar SOP

Polis Kelantan kesan personaliti disyaki langgar SOP

Polis Kelantan sedang mengesan beberapa individu yang juga personaliti media sosial dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) selain merentas negeri semata-mata untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata pihaknya menerima satu laporan polis, petang semalam, berkaitan kesalahan individu berkenaan.

“Hasil semakan terhadap berita yang tular mengenai beberapa individu yang disyaki melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat beberapa keping gambar yang dimuat naik individu berkenaan menunjukkan mereka bergambar dengan pengantin tanpa penjarakan sosial serta tidak memakai pelitup muka.

“Malah, ramai juga yang tidak berpuas hati dan mempersoalkan tentang pergerakan rentas negeri rakan pengantin dari luar ke Kelantan,” katanya dalam kenyataan kepada media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa personaliti media sosial itu yang dikatakan merentas negeri semata-mata untuk menghadiri perkahwinan rakannya di Kota Bharu.

Tindakan itu mendapat kritikan netizen yang mempersoalkan bagaimana mereka boleh merentas negeri selain didakwa tidak mematuhi SOP ketika menghadiri majlis tersebut.

Sementara itu Shafien berkata, polis sedang mengesan individu terbabit untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah dalam kawasan tempatan jangkitan)(Kawalan Pergerakan Bersyarat). | MK