PN dibina atas pengkhianatan pasti akan runtuh melalui pengkhianatan juga

PN dibina atas pengkhianatan pasti akan runtuh melalui pengkhianatan juga

Selepas setahun pembentukan kerajaan PN melalui Langkah Sheraton menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan, ekonomi masih tidak pulih, kata dua pemimpin pembangkang.

Presiden Warisan Shafie Apdal dan pengerusi penaja parti Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman dalam kenyataan bersama berkata kerjasama Bersatu, Umno dan PAS dalam kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik.

Jelas mereka, jenama ‘kerajaan Melayu-Islam’ sahaja akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.

Pemerintahan PN, kata Shafie dan Syed Saddiq menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 dan tidak ada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini

“Apa pula jawapan kerajaan ‘Melayu-Islam’ apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada Mac tahun lalu?

“Malah lebih 9,000 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata mereka.

Shafie dan Syed Saddiq juga berkata kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan dan “tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.”

“Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihanraya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa sahaja untuk terlerai.

“Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga,” kata mereka lagi. | MK