PM setuju geran RM30 juta untuk golongan rentan di Johor

PM setuju geran RM30 juta untuk golongan rentan di Johor

ISKANDAR PUTERI : Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju untuk memberikan geran sebanyak RM30 juta untuk membantu golongan rentan yang terjejas akibat Covid-19 di negeri ini.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad semasa ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2021 di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

“Yang Berhormat Speaker, pada pagi ini sukacita saya memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersetuju memberikan geran khas berjumlah RM30 juta untuk meringankan beban kumpulan rentan yang terjejas dengan Covid-19 di Johor. Terima kasih Yang Berhormat Perdana Menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni berkata, pihak kerajaan negeri memutuskan untuk menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 secara one-off kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Katanya, beliau sebelum ini mengumumkan kenaikan peruntukan RM150,000 daripada RM50,000 kepada ADUN pembangkang kerana mahu memberi keabsahan kepada mereka di samping untuk menjayakan urusan berkebajikan tanpa sebarang halangan di kawasan yang diwakili masing-masing.

“Dalam konteks ini, tiada sesiapa pun layak untuk mengiktiraf diri mereka sebagai ‘hero’ atau ‘pahlawan’ dalam memperkasakan sistem demokrasi. Saya berpendapat bahawa sesiapa pun yang menjadi Kerajaan, adalah menjadi tugas hakiki mereka untuk memperkuatkan demokrasi,” katanya.

Berhubung cadangan pemotongan elaun ADUN untuk dimasukkan dalam Tabung Bencana Negeri Johor, Hasni berpendapat semua pihak harus lebih realistik dan perlu memikirkan kesan jangka panjang apabila sesuatu keputusan dibuat.

“Saya menghargai cadangan yang telah disampaikan. Namun, sumbangan untuk Tabung Bencana Negeri Johor hendaklah tidak bermotifkan untuk menarik simpati rakyat mahupun retorik semata-mata.

“Saya berharap janganlah politikkan isu potongan gaji dan elaun ini. Keikhlasan diri dalam menderma atau berinfak adalah lebih baik daripada terpaksa menderma. Biarlah tangan kanan yang memberi, tanpa diketahui oleh tangan kiri,” katanya.

Dalam pada itu, Hasni memaklumkan sehingga kini jumlah kutipan Tabung Bencana Negeri Johor adalah sebanyak RM32.3 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM28.8 juta telah dibelanjakan untuk pembelian peralatan bagi pasukan barisan hadapan, bantuan makanan asas kepada mangsa Covid-19, peralatan di pusat kuarantin.

“Dengan kesempatan ini, saya menyeru kepada semua Ahli Dewan, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta serta individu untuk terus menyumbang ke dalam akaun Tabung Bencana Negeri Johor,” katanya

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/pm-setuju-geran-rm30-juta-untuk-golongan-rentan-di-johor/