PM arah polis bertindak terhadap tuduhan jadi ejen Israel

PM arah polis bertindak terhadap tuduhan jadi ejen Israel

PM arah polis bertindak terhadap tuduhan jadi ejen Israel. Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan polis mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat fitnah atau mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga boleh mengancam keharmonian negara.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil yang mendedahkan perkara itu dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini.

“Beliau ada menzahirkan bahawa beliau tak berhasrat mengambil apa-apa tindakan kepada mereka yang memberi kritikan sama ada terhadap ‘capal’, selipar dan sebagainya.

“Tetapi kita menetapkan batas kepada elemen-elemen seperti fitnah tuduhan ejen Israel dan beliau telah meminta pihak polis mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat yang berlangsung di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, hari ini.

Fahmi merayu orang ramai supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru orang ramai supaya bersatu padu.

“Kenyataan-kenyataan yang membawa fitnah perkauman yang melampau ini perlu berhenti sekarang.

“Ini masa untuk kita mula berkhidmat dan kita harap tak ada sesiapa yang berhasrat melanggar undang-undang,” katanya.

Beberapa insiden sepanjang tempoh kempen PRU-15 dan juga selepas itu telah menimbulkan sentimen perkauman dan agama.

Ia khususnya membabitkan tentangan daripada parti Melayu-Islam terhadap PH yang menjadi parti gabungan berbilang kaum

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP mempromosikan Islamofobia.

Kenyataan itu susulan laporan polis yang dibuat oleh pemimpin dan penyokong PH terhadap kenyataan kebencian yang didakwa disebarkan oleh ahli dan penyokong PAS secara dalam talian semasa dan selepas PRU15.

Ketika ceramah pada 16 Nov, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mendakwa PH adalah ejen Yahudi dan Kristian yang ingin menjajah Malaysia.

Bagaimanapun, Muhyiddin kemudiannya mendakwa kenyataannya yang mengaitkan PH sebagai “ejen Yahudi” telah petik di luar konteks,

Beberapa hantaran media sosial tentang kemungkinan berulangnya rusuhan kaum 13 Mei 1969 juga ditemui di TikTok beberapa hari selepas hari pengundian.

PM arah polis bertindak terhadap tuduhan jadi ejen Israel