PKR isytihar perang di kerusi dipegang ‘pengkhianat’

PKR isytihar perang di kerusi dipegang ‘pengkhianat’

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata parti itu bersungguh-sungguh untuk menuntut semula kawasan pilihan raya daripada mereka yang mengkhianati kepercayaan pengundi terhadapnya.

PKR memulakan acara Rapat Mega (himpunan mega) pertamanya malam tadi di Melawati, kawasan dibawah DUN Gombak, yang Ahli Parlimennya Azmin Ali, keluar daripada parti itu dan memainkan peranan penting dalam menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Azmin kini dengan Bersatu.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata PKR telah datang untuk “menyerang” kawasan dipegang oleh “pengkhianat”.

“Dengar sini baik-baik, rakan-rakan di Gombak, Ampang dan sekutu-sekutu,” katanya.

“Dalam strategi pilihanraya kita, kawasan paling kuat yang kita akan menyerang adalah kawasan yang dipilih rakyat, yang dipilih untuk bela nasib rakyat, yang dipilih atas nama prinsip perjuangan keadilan, kemudian khianati mereka.

“Sebab itu kawasan ini jadi tumpuan kita untuk hukum dan humban mereka.”

Untuk rekod, Ahli Parlimen Ampang yang juga bekas naib presiden PKR, Zuraida Kamaruddin juga keluar parti ketika Langkah Sheraton dan kini adalah pengganti presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Anwar melahirkan keyakinan bahawa PKR akan memenangi kerusi Gombak pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Antara pemimpin PKR yang hadir pada acara itu adalah Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Ketua Pemuda PKR Adam Adli.

Sementara itu, Rafizi mengingatkan Anwar bahawa bukan mudah untuk menguruskan negara sekiranya Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.

“Sebagai sebuah negara, kita tersangkut.

“Kalau Datuk Seri Anwar jadi perdana menteri, saya kata tidak mudah jadi perdana menteri sekarang. Kita akan mewarisi negara yg ‘cukup sakit’,” katanya yang merujuk kepada rasuah.