PKPD dua lokaliti di Lahad Datu dilanjutkan, satu tamat

PKPD dua lokaliti di Lahad Datu dilanjutkan, satu tamat

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini memutuskan untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Desa Bajau dan Kampung Dasar Baru, Lahad Datu, Sabah selama 14 hari lagi bermula 16 Disember 2020 sehingga 29 Disember 2020.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih terdapat baki sampel saringan yang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,439 ujian saringan dan sebanyak 238 kes kumulatif Covid-19 telah direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

“KKM mengesahkan masih terdapat sebanyak 1,160 yang menunggu keputusan dan risiko untuk berlaku penularan Covid-19 dalam kalangan penduduk berikutan kes aktif yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, atas nasihat KKM, sidang khas hari ini memutuskan untuk menamatkan PKPD di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Sibuga, Sandakan pada 15 Disember seperti yang telah dijadualkan.

“Sehingga 11 Disember 2020, KKM telah melaksanakan 1,062 ujian saringan dan sebanyak 217 kes kumulatif Covid-19 telah direkodkan.

“Bagaimanapun, sehingga kini hanya tinggal baki 29 kes aktif positif Covid-19 yang melibatkan tahanan dan kakitangan di pusat tahanan ini yang sedang dirawat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2020/12/14/pkpd-dua-lokaliti-di-lahad-datu-dilanjutkan-satu-tamat/