Pilu !!! Perompak tetak pesara sehingga mati

Pilu !!! Perompak tetak pesara sehingga mati

KUALA LUMPUR – Bekas pengarah bahagian teknologi maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut, manakala isterinya cedera diserang perompak bersenjatakan parang di kediaman mereka di Jalan Mambu, Bukit Bandaraya di sini awal pagi tadi.

Mangsa, Dr. Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat mengalami kecederaan pada muka dan leher manakala isterinya, Sarifah Yusof,70, turut dicederakan.

Difahamkan, kediaman banglo dua tingkat yang mempunyai tujuh bilik itu dipecah masuk ketika bekalan elektrik di kawasan perumahan berkenaan terputus.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anak mangsa berhubung rumah ibu bapanya dipecah masuk dua lelaki bersenjatakan parang pada pukul 4.01 pagi sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati mangsa maut diserang, manakala isterinya yang juga pesara guru cedera pada bahu kanan.

“Hasil soal siasat awal, isteri mangsa memberitahu, kejadian pecah rumah berlaku pada pukul 3.30 pagi dan mangsa turun selepas terdengar bunyi bising di bahagian dapur.

“Dua lelaki bersenjatakan parang dan tidak bertopeng meminta duit, mangsa cuba melawan sebelum dia ditetak,” katanya kepada Kosmo! hari ini.

Menurutnya lagi, isterinya turut dicederakan suspek sebelum mereka melarikan barang berharga dalam kediaman tersebut.

“Dua suspek itu melarikan diri melalui tingkap di bahagian dapur.

“Anggaran kerugian dan siasatan lanjut masih dijalankan,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – K! ONLINE

Sumber : https://www.kosmo.com.my/2020/11/29/pesara-mardi-maut-ditetak-perompak/