Pilu !!! Hanya mampu sebut mama, baba

Pilu !!! Hanya mampu sebut mama, baba

Bagan Datuk: “Tiga ‘permata’ istimewa ini adalah amanah Allah SWT dan saya perlu menguatkan semangat untuk membesarkan mereka terutama ketika keluarga kami diuji dengan keadaan suami yang terlantar akibat angin ahmar,” kata Saizana Ermah Hamdan, 33.

Saizana Ermah cekal menjaga dan menguruskan tiga anak istimewanya termasuk anak sulungnya yang juga orang kurang upaya (OKU) kelewatan pembangunan global (GDD), Muhammad Emariz Adam, 8.

Dua lagi anaknya, Aaira Syifaa, 3, dan Muhammad Afnan, 2, mempunyai masalah tiroid dalam darah, selain perkembangan dan tumbesaran juga turut terganggu.

Saizana Ermah berkata, masalah kesihatan tiga anaknya itu dianggap sebahagian dugaan dalam hidupnya.

Kini, dia diuji lagi apabila suami, Muhamad Zan Mat Zain, 33, diserang angin ahmar sebelah badan sejak hujung April lalu.

“Ketiga-tiga anak saya tidak boleh berjalan dan bercakap seperti kanak-kanak normal seusianya, malah Aaira Syifaa juga sumbing lelangit dan dia minum susu menggunakan tiub.

“Mereka dilahirkan normal cuma masalah platlet darah rendah dan tidak normal, namun keadaan mereka baik selepas itu.

“Tetapi ketika berusia enam bulan ke atas saya lihat perkembangan mereka lambat,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di rumah bapa mentuanya di Kampung Rungkup Kecil, di sini, semalam.

Katanya, ketiga-tiga anaknya masih seperti bayi dan mereka juga tidak boleh duduk sendiri.

“Mereka hanya boleh sebut mama dan baba saja, kalau mahukan sesuatu mereka akan menangis, malah Aaira Syifaa dan Muhammad Afnan masih mendapatkan rawatan susulan di Klinik Kesihatan Bagan Datuk setiap bulan.

“Saya seronok melihat kanak-kanak normal lain tetapi saya tidak pernah menyalahkan takdir dan sedih kerana bagi saya asalkan anak sihat itu sudah cukup baik,” katanya.

Menurutnya, kehidupan mereka sekeluarga kini bertambah sukar apabila suami yang sebelum ini mengambil upah sebagai tukang rumah sudah tidak mampu berkerja, manakala dia pula hanya berniaga dalam talian.

“Tekanan darah suami tinggi, kaki dan tangannya kebas sebelum dia tidak sedarkan diri dan doktor beritahu pembuluh darah suami pecah serta ada darah beku di kepala.

“Suami sudah menjalani pembedahan membuang darah beku itu, bulan lalu dia sekali lagi menjalani pembedahan untuk memasang semula tempurung kepalanya.

“Ketika sihat suami membantu menguruskan anak tetapi sekarang dia juga diurus sepenuhnya oleh saya dan akan menjaga mereka sebaik mungkin,” katanya yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/11/647255/mereka-hanya-boleh-sebut-mama-baba