PH umum manifesto, calon perdana menteri, senarai kerusi 29 Okt ini

PH umum manifesto, calon perdana menteri, senarai kerusi 29 Okt ini

Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan manifesto pilihan raya, calon perdana menteri dan senarai pembahagian kerusi di Konvensyen Pakatan Harapan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ipoh (IICC) pada 29 Okt ini.

Pengerusi PH Perak, Mujahid Yusof berkata, konvensyen sehari itu dijangka dihadiri kira-kira 5,000 peserta, termasuk Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin utama PH yang lain.

“Lima perkara utama bakal diumumkan menerusi konvensyen berkenaan iaitu calon perdana menteri dari PH, pembahagian kerusi antara parti komponen PH di seluruh negara, manifesto pilihan raya, lagu tema serta maskot yang akan digunakan semasa pilihan raya umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam satu sidang media di Ipoh, lapor Bernama.

Beliau berkata sempena konvensyen itu, PH turut menganjurkan Jelajah PH di empat kawasan parlimen di negeri ini iaitu Parit Buntar, Lumut, Tambun dan Tapah.

Mujahid adalah ahli parlimen Parit Buntar yang disandangnya selama tiga penggal.

Kerusi Parlimen Lumut disandang Hatta Ramli dari Amanah; Tambun oleh Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Tapah disandang Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.