PH tetap lawan jika PRN Johor diumumkan

PH tetap lawan jika PRN Johor diumumkan

Pakatan Harapan (PH) bersedia untuk ‘bertempur’ sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumum untuk diadakan dalam masa terdekat.

Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, parti itu tetap membangkitkan persoalan mengapa pilihan raya itu perlu diadakan ketika masalah Covid-19 masih belum selesai ditambah dengan situasi banjir di negeri itu yang belum pulih sepenuhnya.

“Kita kalau pilihan raya diumumkan kita mesti bersedia, cuma apa kewajarannya Covid-19 bertambah, sekatan teruk dan perjalanan kempen akan memihak kepada kerajaan, itu semua kita tahu.

“Banjir belum selesai termasuk di Johor, banjir surut tidak bermakna selesai masalah, rakyat masih susah, kadang kala orang ini tidak faham, mereka tidak pernah turun ke bawah.

“Kalau turun mereka tahu masalah yang besar. Orang yang kena (banjir) mereka susah, kelengkapan perumahan, dapur rosak, sebab itu saya kata selesai ini dulu. Andai kata pilihan raya mahu diadakan juga, kita sedia bertempur pada kadarnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan barangan pasca bencana daripada pihak SP Care Group kepada Pusat Khidmat Parlimen Port Dickson di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M. Ravi dan Pengasas SP Care Group, Dr. Sathia Prakash Nadarajan.

Sumbangan yang diberikan itu termasuklah kayak, enjit bot, jaket keselamatan dan juga pelampung.

Sementara itu, Anwar yang merupakan Ketua Pembangkang, memaklumkan, akan membangkitkan masalah-masalah rakyat dalam Sidang Khas Parlimen berkaitan banjir yang akan diadakan pada 20 Januari ini.

“Untuk sidang khas, saya akan bawa masalah rakyat, persiapannya dan segala macam, tunggu 20 Januari,” katanya lagi.

Sumber | UTUSAN ONLINE