PH perlu ‘digulingkan’ jika gagal jadi kerajaan yang baik – Mat Sabu

PH perlu ‘digulingkan’ jika gagal jadi kerajaan yang baik – Mat Sabu

Pakatan Harapan (PH) yakin akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini sekali gus kembali mentadbir kerajaan.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, PH perlu diberi sekali lagi peluang namun sedia digulingkan sekiranya gagal mempamerkan prestasi baik sebagai kerajaan.

“Saya berkeyakinan penuh, kali ini PH akan capai kemenangan. Insya-Allah, 20 November ini, Perdana Menteri kita ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita akan lihat kerajaan kita, lihat lima tahun kita buat (mentadbir negara), jika baik lima tahun lagi sambung tugas kita, kalau tidak baik, tendang ke Laut China Selatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di Ipoh Convention Center di sini semalam.

Menurut beliau, PH akan bergerak di seluruh negara menerusi program jelajahnya bagi membangkitkan semangat rakyat untuk menolak UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Hadirlah beramai-ramai dalam masa sebulan ini, kita perlu hadir untuk kita buat perubahan pada kali ini.

“Memang belanjawan negara telah dikemukakan baru-baru ini, tetapi itu bukan belanjawan, itu sembang kedai kopi. Mereka bentang-bentang kemudian bubar Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad dengan nada berseloroh turut menitip pesan kepada Anwar yang merupakan calon Perdana Menteri agar mencari harta sepencarian dan bukannya harta ‘sepencurian’ seperti yang dikaitkannya dengan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Saya nasihatkan bakal Perdana Menteri dan isteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail), bila jadi Perdana Menteri nanti, carilah harta sepencarian, bukan harta sepencurian.

“Jangan jadi seperti Perdana Menteri terdahulu, bakal Perdana Menteri kita tidak akan jadi begitu,” katanya.