PH lebih ‘gentleman’ dan beradab berbanding PN – Asyraf Wajdi

PH lebih ‘gentleman’ dan beradab berbanding PN – Asyraf Wajdi

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menjelaskan perbezaan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam rundingan gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan perpaduan.

Asyraf Wajdi menyifatkan kepemimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab berbanding PN yang masih dengan cara lama dalam ‘berurusan’.

“Ramai bertanya mengapa kepimpinan BN berada di Hotel St Regis bertemu dengan kepimpinan PN? Sebenarnya pertemuan ini selaras dengan pendirian Dewan Tertinggi BN untuk bersikap terbuka bagi bertemu dan berunding dengan dua parti gabungan terbesar PH dan PN bagi membincangkan mengenai Kerajaan Perpaduan.

“Dua hari lalu kepimpinan PH hadir bertemu dengan kepimpinan BN di Hotel Seri Pacific bagi membentangkan terma-terma dan tawaran mereka jika BN bersetuju membentuk Kerajaan Perpaduan bersama mereka.

“Kepimpinan PH lebih ‘gentleman’ dan beradab dengan membuat pertemuan secara rasmi dengan tujuh orang kepimpinan BN bagi menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan kepimpinan BN,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata, sebaliknya, PN masih dengan perangai lama cuba ‘berurusan’ secara senyap-senyap dan mencuri 10 Ahli Parlimen untuk tandatangan Surat Akuan Bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM).

“Sebab itulah, pertemuan dengan PN yang sepatutnya dijadualkan sejak dua hari lalu terpaksa ditunda beberapa kali. (Kononnya, PN sudah cukup ‘numbers’, bilangan Ahli Parlimen yang menyokong perlantikan Tan Sri Muhyiddin sebagai PM.

“Hinggalah apabila 10 SD yang ditandatangani oleh Ahli Parlimen BN ditarik balik atas arahan Dewan Tertinggi BN, barulah mereka menyatakan kesediaan untuk bertemu pada hari ini jam 3.30 petang.

“Itupun selepas mereka dititah mengadap Yang Dipertuan Agong kelmarin dan dimaklumkan secara rasmi bahawa Tan Sri (Muhyiddin) sudah tidak cukup bilangan SD yang menyokong,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, malam ini Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan memperhalusi kedua-dua tawaran PH dan PN sekaligus akan akur dengan titah Agong yang menitahkan agar BN menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Cuma persoalannya kenapakah PN begitu bongkak dan sombong untuk menolak titah nasihat Tuanku Agong agar dibentuk Kerajaan Perpaduan ya?” soalnya.

 

PH lebih 'gentleman' dan beradab berbanding PN - Asyraf Wajdi