PH gesa kerajaan umum pelan tangani isu subsidi, kos sara hidup dalam 24 jam atau letak jawatan

PH gesa kerajaan umum pelan tangani isu subsidi, kos sara hidup dalam 24 jam atau letak jawatan

PH gesa kerajaan umum pelan tangani isu subsidi, kos sara hidup dalam 24 jam atau letak jawatan.

Kerajaan digesa mengumumkan sepenuhnya pelan menangani isu subsidi dan kos sara hidup dalam tempoh 24 jam.
Sekiranya gagal, menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup wajib meletakkan jawatan.

Itu yang ditegaskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, keadaan rakyat dijangka akan bertambah parah apabila harga barang dilihat bakal meningkat.

Pada ketika ini, kerajaan belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu hingga terhapusnya subsidi dan harga siling.

Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang berkemungkinan meningkat berkali ganda.

Tegas Majlis Presiden PH, ini bukan langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab.

Kata kenyataan itu lagi, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan majlis tindakan kos sara hidup negara bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.

Namun, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para menteri dalam menangani masalah kos sara hidup.

Semalam, diumumkan subsidi minyak masak tulen berbotol serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.