Peruntukan RM27.9 juta lama dah lulus, Jambatan Selampit di Sarawak masih tak nampak ‘bayang’

Lima tahun selepas Putrajaya meluluskan sebuah projek jambatan di Bau, Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11), Ahli Parlimennya masih menunggu pembinaan itu dimulakan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid berkata, pembinaan Jambatan Selampit diluluskan dalam pelan pelaksanaan kedua RMK11 pada 2017, dengan peruntukan maksimum RM27.9 juta.
“Bagaimanapun, kelulusan permohonan penempatan belum diperoleh daripada pihak berkuasa perancang negeri (SPA) Sarawak.
“Peruntukan untuk projek itu kekal RM27.9 juta, dengan hanya sedikit dana dibelanjakan untuk tujuan kerja-kerja awal,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Mordi Bimol (PH-Mas Gading).
DUN Mas Gading di Kuching meliputi daerah Bau dan Lundu.
Mordi dari DAP ingin tahu apa yang berlaku dengan peruntukan projek Jambatan Selampit di bawah Belanjawan 2019 memandangkan pelaksanaannya masih di peringkat SPA.
Bulan lalu, beliau turut mengadu mengenai kelewatan projek Jalan Kampung Kendaie bernilai RM72 juta, yang katanya diluluskan pada 2019, tetapi pembinaannya belum dimulakan.
Beliau dipetik Borneo Post sebagai berkata, projek yang dicadangkan untuk kawasannya telah dipolitikkan menyebabkan kelewatan berterusan.
Katanya, Jabatan Kerja Raya telah mengemukakan permohonan penempatan sebanyak empat kali kepada unit pelaksanaan dan pemantauan Sarawak, tetapi masih tidak mendapat kelulusan.