Perlis catat sejarah, belanjawan lulus dengan sokongan pembangkang

Perlis catat sejarah, belanjawan lulus dengan sokongan pembangkang

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis hari ini sebulat suara meluluskan Belanjawan Perlis 2021 berjumlah RM108.17 juta.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tahun 2021 dan Anggaran Pembangunan Negeri Perlis 2021 diluluskan selepas dibahaskan selama tiga hari.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang membentangkan belanjawan itu pada Selasa (8 Dis) berkata ia adalah pertama kali dalam sejarah negeri ini, pembentangan Belanjawan Perlis diluluskan dengan mendapat sokongan penuh termasuk wakil rakyat pembangkang.

Menyediakan belanjawan adalah sesuatu yang mencabar apabila defisitnya meningkat dengan lebih besar disebabkan oleh ‘kekejaman’ COVID-19 dan impaknya kepada ekonomi negeri.

“Kekurangan (defisit) sebanyak RM67.52 juta itu bersifat mengembang untuk memberi yang terbaik kepada rakyat dalam usaha melangkah ke arah misi Wawasan Perlis Negeri Bandaraya 2030,” katanya ketika sesi pengulungan pembentangan Belajawan Perlis 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Azlan (BN-Bintong) berkata empat teras dalam Belanjawan Perlis 2021 iaitu pelaksanaan pembangunan, kebajikan masyarakat, masyarakat harmoni dan keberkesanan pentadbiran adalah selaras dengan tema belanjawan itu sendiri.

Beliau berkata antara aspek yang perlu dipertingkatkan adalah aspek penguatkuasaan dalam pentadbiran kerajaan.

“Saya bersetuju bahawa aspek penguatkuasaan itu perlu diperkuatkan supaya menjadi teratur bagi mewujudkan masyarakat harmoni iaitu masyarakat yang memahami dan mematuhi peraturan,” katanya.

Terdahulu, Exco Prasarana dan Kemudahan Awam negeri, Hamizan Hassan memberitahu dewan, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM40.7 juta secara geran kepada Perlis di bawah Projek Cadangan Langkah Mitigasi Jangka Pendek bagi memulihkan masalah air di negeri itu.

Beliau berkata projek itu telah dimulakan sejak awal Januari tahun ini dan dijangka siap akhir Ogos 2021.

Hamizan (BN-Kayang) berkata tiga skop projek ini merangkumi penambahbaikan fasiliti loji serta sistem pengepaman di Loji Rawatan Air Arau Fasa 1, 2, 3 dan 4 yang terletak di Kampung Sena dan penambahan package plant berkapasiti 40 juta liter air sehari di Loji Rawatan Air Timah Tasoh.

“Dengan pelaksanaan projek ini dijangkakan keupayaan pembekalan air domestik kepada pengguna ditingkatkan serta mutu kualiti air dapat dibekalkan dengan baik dan terjamin,” katanya, menjawab soalan dikemukakan oleh Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan) pada persidangan itu.

Hamizan berkata Kerajaan Persekutuan juga memperuntukkan RM105.6 juta secara pinjaman kepada Kerajaan Perlis bagi meningkatkan keupayaan pengeluaran bekalan air di negeri ini melalui program mitigasi jangka sederhana.

“Daripada jumlah itu, RM54 juta untuk Program Peningkatan Bekalan Air Terawat di Loji Rawatan Air Timah Tasoh, RM28 juta menaik taraf Loji Rawatan Air Arau Fasa 4 serta menaik taraf Pam Air Mentah dan Pam Air Bersih Tekanan Tinggi di Loji Air Arau Fasa 1, 2, 3 dan Guar Sanji sebanyak RM23.6 juta,” katanya.

Beliau berkata projek itu telah bermula sejak Februari tahun ini dan dijangka siap pada Mac 2024.

Persidangan dewan ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/554732