Perancang penculikan di Sabah ditembak mati

Perancang penculikan di Sabah ditembak mati

Seorang perancang utama kegiatan penculikan untuk wang tebusan (KFR) di pantai timur Sabah dikenali sebagai Apo Mike, ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina di negara itu, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah Hazani Ghazali, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya masih menunggu maklumat lanjut mengenainya.

“Ya Apo Mike disahkan mati ditembak oleh pasukan keselamatan Filipina tapi kita masih menunggu maklumat lengkap mengenai kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Apo Mike atau nama sebenarnya Majan Sahidjuan adalah sub komander Abu Sayyaf.

Dia dipercayai mengetuai beberapa siri penculikan termasuk kes empat rakyat Sarawak diculik di perairan Semporna, berhampiran Pulau Ligitan pada 2016.

Apo Mike juga antara 21 senarai penjenayah dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSSOM) kerana aktif melakukan jenayah termasuk penculikan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). | FMT