Perak : Jika penjajaran tidak dijaga, usul undi percaya mungkin menyusul

Perak : Jika penjajaran tidak dijaga, usul undi percaya mungkin menyusul

Pertama, sekalung tahniah kepada Datuk Saarani Mohamad atas pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Pelantikannya adalah pilihan secara konsensus daripada Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta PAS, selepas buntu selama lima hari akibat tiada kesepakatan, sehingga Presiden UMNO menggambarkan mungkin ada penjajaran baharu membabitkan parti pembangkang.

Dalam kegembiraan menyambut kehadiran Menteri Besar Perak baharu, jangan dilupa ada jalan berliku menanti di hadapan. Jika usul undi percaya menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atas sifat hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya, menteri besar yang baharu mesti boleh menunjukkan tahap kepemimpinan lebih baik berbanding yang dijatuhkan.

Bukan mudah mentadbir sebuah negeri yang jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setiap parti tidak cukup untuk membentuk kerajaan secara bersendirian. Justeru, dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai menteri besar, layanan sama rata kepada setiap ADUN daripada parti yang bergabung membentuk kerajaan mesti dijaga rapi.

Jika penjajaran tidak dijaga, dikhuatiri ‘kenderaan’ akan terbabas daripada landasan. Pada masa sama, kerenah 24 ADUN pembangkang perlu pula ditangani atas kapasiti mereka sebagai penyemak dan pengimbang segala dasar kerajaan.

Pentadbiran jabatan kerajaan negeri dan jabatan Persekutuan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri mungkin tidak memberikan apa-apa masalah kerana penjawat awam sudah tahu tugas dan tanggungjawab mereka.

Penjawat awam di Perak juga sudah biasa dengan pertukaran menteri besar sejak sekian lama. Yang boleh menimbulkan masalah, ialah bagaimana menteri besar perlu melayan kehendak orang politik dalam parti yang memerintah secara adil, tegas, telus dan terbuka.

Bolehkah Menteri Besar Perak menunjukkan ketegasan seperti ditunjukkan Menteri Besar Kedah, seperti dalam isu perobohan kuil di negeri itu?

Saarani juga perlu berhati-hati dan teliti dalam membuat pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) negeri, termasuk pelantikan pengerusi agensi di bawah tadbiran kerajaan negeri.

Jangan dilantik mereka yang hanya pandai bercakap atau rakan rapat sahaja, tetapi tiada hala tuju dan kebolehan profesional dalam pentadbiran portfolio, agensi atau badan berkanun di bawah kerajaan negeri.

Pada waktu ini akan ada individu mengaku kenal rapat dengan menteri besar, malah sudah ada dalam Facebook menunjukkan gambar lama seseorang berdampingan dengan Menteri Besar Perak yang baharu.

Menteri besar dan penasihat perlu ada ketetapan dan kriteria tegas serta tepat dalam memberikan ruang dan peluang kepada mana-mana individu, pemimpin organisasi dan pemimpin politik dalam agihan kerja, peruntukan kewangan, bantuan dan projek kerajaan.

Jangan sampai ada pihak yang mengatakan kepemimpinan menteri besar sekarang lebih kurang sama dengan yang terdahulu. Jangan pula akibat lupa dan alpa, usul tidak percaya pula menyusul.

Rakyat sudah letih dengan pertukaran menteri besar dan pergolakan antara parti politik di Perak.

Zainal Abiddin Osman,
Pesara pegawai kanan kerajaan

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2020/12/764811/cabaran-berliku-menanti-menteri-besar-perak