Pentas alternatif penyanyi buat persembahan

Pentas alternatif penyanyi buat persembahan

KUALA LUMPUR: Industri hiburan antara bidang yang terjejas teruk apabila pandemik COVID-19 mula menyerang seluruh dunia sejak penghujung tahun lalu.

Situasi itu secara tidak langsung memberi tempias terhadap periuk nasi anak seni apabila banyak acara nyanyian dan lakonan terpaksa ditangguhkan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Ketika ini, penggiat seni lakon barangkali sudah mampu menarik nafas lega apabila kelonggaran sudah diberikan kepada produksi untuk menyambung semula penggambaran dengan mematuhi operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun, berbeza buat penggiat muzik yang mencari makan dalam bidang nyanyian dan pertunjukkan pentas. Masih belum ada lampu hijau daripada kerajaan untuk meneruskan aktiviti itu.

Enggan terus meratapi nasib atau berpeluk tibuh mengharap bantuan, COF Music dengan kerjasama HMO TV mengambil inistaif menganjurkan acara Saturday Nite Show sebagai pentas alternatif buat penyanyi tempatan terus mengadakan persembahan dalam situasi melanda.

Menjelaskan rasional penganjuran acara itu, Penerbit Saturday Nite Show, Aman Nassim berkata, penyanyi perlu mengintai peluang yang ada untuk meneruskan survival dalam bidang seni dengan memanfaatkan amalan norma baharu yang diperkenalkan sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Sebelum ini, penyanyi mengadakan gig atau mini ‘showcase’ di hadapan peminat di lokasi tertentu seperti pusat hiburan, kelab atau dewan, namun mereka hilang sebahagian besar punca pendapatan sejak kerajaan mengumumkan PKP pada Mac lalu.

“Malah, penyanyi ‘mainstream’ turut terkesan apabila banyak acara hiburan terpaksa dibatalkan atau ditunda pada jangka masa yang lama. Andai ada ruang sekali pun pentas televisyen dan konsert maya, tetapi tidak semua penyanyi mendapat peluang ini.

“Justeru, kami mengambil inisiatif menyediakan ‘platform’ khusus buat penyanyi ‘undergriund’ dan arus perdana untuk membuat persembahan, selain menyerlahkan bakat baharu yang akan menjadi pelapis industri muzik tanah air melalui Saturday Nite Show,”

Aman berkata, acara itu turut menampilkan gabungan penyanyi ‘mainstream’ popular seperti Zizi Kirana, MK K-Clique, Kidd Santhe, Yonnyboii dan Joe Flizzow, manakala artis ‘underground’ yang turut membuat persembahan adalah Danye, Jazz, Da’Soul Jahh, Sniper Sosa dan ramai lagi.

“Kebanyakan penyanyi yang terbabit memberi sokongan padu dan melihat Saturday Nite Show sebagai platform alternatif buat peminat berhibur pada hujung minggu, selain mengetengahkan bakat pelapis tempatan,” ujarnya.

Mengulas kekangan yang terpaksa dihadapi, Aman berkata, cabaran utama perlu dihadapinya membabitkan aspek teknikal, memandangkan persembahan diadakan secara dalam talian.

“Aspek teknikal antara cabaran utama. Ini kerana produksi perlu menggunakan penstriman secara langsung dan mengikut SOP seperti bilangan kru bertugas yang terhad, pemakaian pelitup wajah dan tiada penonton,” jelas Aman.

Sebagai satu daya tarikan, COF Music turut mengadakan kuiz untuk penonton. Mereka bertuah berpeluang memenangi hadiah utama iaitu e-skuter Startron Mini X bernilai RM7,000, selain hadiah eksklusif mingguan sumbangan penganjur.

“Selain mengetengahkan genre hip hop, pentas ini juga akan membuka ruang kepada genre lain pada masa akan datang. Mungkin ada pihak beranggapan ini hanyalah pentas kecil, tetapi jika tiada pentas seperti ini, bagaimana artis pelapis dapat berkembang?”, ujarnya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/12/765126/pentas-alternatif-penyanyi-buat-persembahan