Penjawat awam paling ramai ditahan SPRM Johor

Penjawat awam paling ramai ditahan SPRM Johor

Penjawat awam paling ramai ditahan SPRM Johor. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuka 165 kertas siasatan berkaitan kes rasuah dari tahun 2020 hingga bulan lalu yang melibatkan 174 tangkapan dan 83 pertuduhan di mahkamah.

Pengarahnya, Datuk Azmi Alias berkata, penjawat awam merupakan kumpulan tertinggi yang ditahan oleh SPRM Johor iaitu seramai 72 orang dan diikuti dengan 56 tangkapan melibatkan pekerja swasta dan 46 orang awam.

“Berdasarkan statistik SPRM Johor, tahun 2020 menunjukkan pembukaan kertas siasatan tertinggi iaitu sebanyak 82 kertas siasatan dan diikuti oleh tahun lalu (61) dan tahun ini (22).

“Mengikut statistik yang sama, tahun lalu merekodkan tangkapan tertinggi iaitu sebanyak 89 tangkapan, diikuti oleh tahun 2020 (44) dan tahun ini (41), katanya dalam kenyataan.

Azmi berkata, SPRM Johor juga telah menerima 784 maklumat berkaitan kesalahan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam tempoh yang sama, manakala pihaknya telah mencatatkan jumlah sitaan sebanyak RM3.4 juta bagi tahun 2020 dan 2021.

“Dalam tempoh yang sama juga, kita telah melucut hak rampasan pesalah rasuah berjumlah RM210,701 iaitu RM181,048 dilucut hak pada tahun 2020 dan RM29,653 pada tahun lalu,” katanya.

 

Turut baca

 

Menurut Azmi, selain menjalankan siasatan berkaitan kes-kes rasuah di negeri ini, pihaknya juga melaksanakan tindakan pencegahan rasuah dengan melaksanakan pemeriksaan ke atas amalan, sistem dan prosedur sektor awam dan swasta bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang rasuah.

Tambahnya, SPRM Johor telah memberikan khidmat nasihat kepada lapan agensi kerajaan dengan memberikan 27 cadangan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan sektor terbabit agar mampu menutup segala ruang dan peluang berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“SPRM Johor turut menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan pencegahan rasuah bagi menyampaikan maklumat anti rasuah secara berterusan kepada kumpulan sasar seperti agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan, pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah.

“Sejak 2020 hingga bulan lalu, sebanyak 188 ceramah telah diberikan selain 95 program berteraskan pencegahan rasuah, dan 96 aktiviti lain yang merangkumi penganjuran bengkel, keterlibatan dan diskusi meja bulat,” ujarnya.

 

Tonton juga