Penjara diserang, 2,000 banduan Nigeria terlepas

Penjara diserang, 2,000 banduan Nigeria terlepas

Lebih 1,800 banduan di penjara Nigeria berjaya meloloskan diri dari sebuah penjara dalam satu serangan oleh sekumpulan lelaki bersenjata semalam.

Daripada jumlah itu, enam banduan dilaporkan kembali ke penjara sementara 35 yang lain enggan melarikan diri ketika serangan berlaku.

Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi semalam, sekumpulan lelaki yang tiba dengan beberapa buah trak pikap dan bas meluru masuk ke perkarangan Pusat Tahanan Owerri selepas meletupkan blok pentadbiran.

Menurut jurucakap polis, serangan dibuat dengan menggunakan bom tangan berpeluru roket, mesingan, bahan letupan dan senapang.

Polis dilaporkan menuduh kumpulan Penduduk Asli Biafra bertanggungjawab dalam siri serangan tersebut namun ia dinafikan oleh puak pemisah itu.

Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari menyifatkan serangan itu sebagai ‘tindakan keganasan’ yang dilakukan oleh puak ‘anarkis’.

Beliau mengarahkan pihak berkuasa untuk segera memberkas penyerang dan menangkap banduan yang terlepas.

Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Imo State sejak sekian lama telah menjadi lokasi utama bagi puak pemisah melakukan serangan selain berlakunya ketegangan dalam hubungan antara kerajaan pusat dan penduduk asli Igbo. – Agensi