Penghantar makanan ditahan menunggang lawan arus

Penghantar makanan ditahan menunggang lawan arus

Kuala Lumpur: Penghantar makanan antara sembilan penunggang motosikal ditahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam Op Khas E-Hailing selepas dikesan melawan arus di Petaling Jaya di sini, semalam.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi itu diadakan bermula pada 11.30 pagi hingga 6 petang bagi mengesan penunggang motosikal yang melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

Menurutnya, operasi itu diketuai Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin bersama lapan pegawai dan 47 anggota.

“Operasi diadakan di Persimpangan 3 Hospital Thomposon, Persiaran Surian dan Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Tangkapan itu membabitkan enam lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nazri berkata, penghantar makanan itu dikesan melakukan kesalahan di Jalan Persiaran Surian berhampiran Palm Spring @ Damansara apabila dia bertindak melarikan diri dari sekatan jalan raya dengan dengan melawan arus sepanjang 60 meter.

“Siasatan awal mendapati penunggang itu tidak mempunyai lesen e-hailing dan lesen memandu kelas B2.

“Selain itu, sebanyak 16 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Trafik Petaling Jaya dan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan 1987.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649271/penghantar-makanan-ditahan-menunggang-lawan-arus