Pengerusi NGO ditetak dua kali tubuh Parti Harapan India

Seorang pengerusi NGO yang diserang dua kali selepas mengadu kepada SPRM berhubung kes dakwaan tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (Penjana Kerjaya) bakal menubuhkan parti baru.
Pengerusi Persatuan Harapan India Malaysia (PHIM) Mani Maran Manickam berkata permohonan kepada Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (RoS) telah dihantar hampir empat bulan lalu.
“Harap-harap, RoS tiada halangan untuk meluluskan permohonan kami,” katanya kepada Malaysiakini.
Katanya, partinya akan dikenali sebagai Parti Harapan India Malaysia (PHIM).
Mani Maran sebelum ini mendakwa serangan terhadapnya mempunyai kaitan dengan beberapa pemimpin sebuah parti politik.
Dalam insiden pertama pada 27 Julai di Kajang, dia diserang menggunakan dipercayai menggunakan pisau cukur, menyebabkannya menerima 16 jahitan di leher
Dia juga dilaporkan diserang kali kedua pada 5 Ogos lalu dan cedera pergelangan tangan kiri dengan kedalaman tiga sentimeter selepas ditoreh pisau.
Dia menerima pembedahan serta 15 jahitan akibat daripada serangan kedua.
Pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kedua-dua insiden ini.
Sementara itu, Mani Maran berkata bahawa tidak akan takut atau berhenti selepas serangan ke atasnya.
“Saya sangat pasti, serangan-serangan ini berkaitan dengan beberapa pemimpin daripada parti tertentu. Sejak saya melaporkan penyelewengan Penjana Kerjaya di SPRM, berlakunya serangan ke atas saya termasuk serangan peribadi.
“Lebih teruk, ali-ahli dari parti tersebut membuat pelbagai video tidak senonoh di media sosial terhadap saya dan tunang saya.
“Tapi, tak kira apa akan berlaku selepas ini, saya tidak akan berhenti mendedahkan penyelewengan ini dan individu-individu di belakangnya sehingga mereka dituduh,” katanya.
Katanya, dia berasa kecewa apabila pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam penyelewengan ini masih bebas di luar sana.
“Semua orang tahu penyelewengan di Penjana Kerjaya dan siapa yang terlibat, tapi saya tak faham bagaimana orang-orang ini masih bebas.
“Saya tak pasti serangan-serangan ke atas saya sama ada bunuh saya atau cuma sekadar ugutan.
“Tapi, perkara ini berlaku hanya selepas saya membawa beberapa nama penting dari parti itu ke SPRM,” katanya.
SPRM telah menahan lebih 40 individu bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu dan penyelewengan dana Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) melibatkan nilai keseluruhan kira-kira RM100 juta.