Pengarah syarikat ditahan

Pengarah syarikat ditahan

Oleh Faizal Nazaruddin
Foto: Ezreen A. Talip

KULAI – Pengarah syarikat yang menjalankan aktiviti pembungkusan semula daging import dengan meletakkan logo halal diragui ditahan oleh Jabatan Kastam negeri ini, hari ini.

Pegawai Kanan Bahagian Penguatkuasaan Kastam Johor, Khalik Drahman berkata, pengarah berusia dalam lingkungan 40-an tahun itu yang merupakan warganegara tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek akan ditahan di bawah Akta Kastam 1967 kerana gagal mengemukakan dokumen diperlukan ketika diperiksa.

“Pada hari ini, Kastam menyita tiga buah lori yang mengandungi produk daging sejuk beku yang tidak memiliki logo halal,” katanya dalam sidang media selepas melawat kilang terbabit di Taman Perindustrian Senai di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia negeri Johor, Nur Afifah A. Rahman.

Rabu lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengetuai serbuan melibatkan sebuah syarikat yang menyeludup daging sejuk beku ke negara ini dan membungkus semula daging berkenaan dengan logo halal palsu.

Berdasarkan siasatan awal MAQIS, daging sejuk beku yang diseludup masuk itu datang dari Brazil, China, Ukraine dan Argentina.

Menurut Khalik, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga akan menyita produk daging sejuk beku yang menggunakan tanda logo halal di dalam kilang itu.

Beliau juga tidak menafikan kemungkinan terdapat pihak lain yang melakukan kegiatan serupa kerana pasaran daging halal adalah besar, termasuklah di negara ini.

“Tindakan kartel ini memalsukan logo Halal Australia adalah kerana logo halal negara berkenaan diyakini masyarakat Islam. Secara tidak langsung mereka boleh menjualnya dengan harga yang lebih tinggi.

“Ketika ini, daging berkenaan akan dihantar ke Jabatan Kimia dalam waktu terdekat untuk ditentukan jenis dagingnya, sebelum tindakan lanjut boleh diambil,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, daging berkenaan akan diberi kepada zoo untuk dijadikan makanan haiwan atau dilupuskan mengikut kaedah ditentukan. – VOICE