Peneroka Felda dinasihati tidak terpengaruh jual tanah

Peneroka Felda dinasihati tidak terpengaruh jual tanah

Jempol: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menasihati peneroka supaya dan tidak terpedaya dengan sebarang tawaran jual beli tanah daripada syarikat luar.

Dalam kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Felda hari ini, sebelum ini ada peneroka berputih mata kehilangan tanah dan tidak mendapat tawaran yang dijanjikan sehingga akhirnya mereka hidup dalam kesusahan.

Menurut kenyataan itu, Felda menggesa warga peneroka mendapatkan pengesahan dan kelulusan daripada pihaknya terlebih dahulu dalam apa jua hal membabitkan tanah peneroka.

“Felda juga menyeru peneroka untuk tidak terbabit dalam sebarang sesi penerangan yang tidak dihadiri wakil Felda.

“Selanjutnya, cadangan pembangunan besar-besaran seperti ini haruslah dilakukan dengan teratur dan mengikut undang-undang serta peraturan yang terpakai,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu juga menyebut, wakil pengurusan Felda sudah membuat laporan polis kedua di Balai Polis Dang Wangi pada 19 Oktober berikutan cubaan sebuah syarikat mempengaruhi peneroka Felda Raja Alias dalam aktiviti membeli tanah peneroka di wilayah Felda berkenaan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/649525/peneroka-felda-dinasihati-tidak-terpengaruh-jual-tanah