Penduduk tak keruan tiba-tiba air naik setinggi 2 meter

Penduduk tak keruan tiba-tiba air naik setinggi 2 meter

Kuantan: Penduduk Sungai Lembing di sini, berdepan saat mencemaskan apabila hujan lebat pada awal pagi tadi menyebabkan pekan kampung berkenaan dinaiki air setinggi hampir dua meter selama tiga jam, mulai 6 pagi tadi.

Peniaga kedai makan, Chua Chan Mum, 50, berkata, air naik secara mendadak semasa beliau sedang bersiap untuk memulakan perniagaan menyebabkannya membuat keputusan untuk mengikat meja dan kerusi bagi mengelak barangan dan perabot dihanyutkan arus.

Beliau berkata, hujan lebat bermula sekitar 2 pagi, namun reda kira-kira sejam setengah selepas itu menyebabkan beliau keluar seperti biasa pada 5 pagi untuk ke kedainya yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya di Kampung Seberang.

“Saya bersyukur air tidak masuk ke kedai, sebaliknya hanya mencecah pada anak tangga paling atas. Suasana sekitar agak kecoh kerana peniaga di kiri kanan kedai makan saya sibuk memindahkan barangan sebagai persediaan, sekiranya paras air terus meningkat.

“Nasib baik, air mulai surut sekitar 8 pagi. Bagaimanapun, ramai yang membuat keputusan tidak berniaga hari ini kerana bimbang air kembali naik memandangkan cuaca masih mendung selain perlu membersihkan kedai,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Chua yang juga anggota bomba sukarelawan di situ berkata, maklumat banjir kilat itu dihebahkan menerusi kumpulan WhatsApp dan WeChat yang menjadi medium perantaraan penduduk kampung bagi memberi amaran kerana bimbang ia menjadi ‘petanda’ permulaan banjir, tahun ini.

Ini kerana, sebagai anak jati Sungai Lembing, Chua berkata, kampung berkenaan sememangnya dilanda banjir setiap musim tengkujuh dan lazimnya menjadi lokasi terawal dinaiki air di daerah ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Kampung Melayu Sungai Lembing Muhammad Ridzal Sukimi, 45, berkata, beberapa rumah dan kedai di situ mengalami kerugian kerana penduduk tidak sempat mengalihkan barang memandangkan air naik dengan cepat.

“Hujan lebat berlaku semasa penduduk sedang tidur menyebabkan ramai yang tidak sedar air sedang naik. Apabila terjaga, agak terlewat untuk memindahkan barangan terutamanya peralatan elektrik yang besar seperti peti sejuk.

“Ini kejadian banjir pertama tahun ini, dan lazimnya kami boleh menjangkakan bila banjir akan berlaku kerana hujan berterusan beberapa hari, berbanding kali ini yang terus terjadi dalam satu malam,” katanya.

Muhammad Rizal bagaimanapun bersyukur kerana air mulai surut membolehkan penduduk membersihkan kediaman mereka, selain tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa berlaku.

Sumber : https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/648042/penduduk-cemas-air-tiba-tiba-naik-setinggi-2-meter