Pendekatan ‘khemah besar’ hanya akan jadi seperti Muafakat Nasional, kata Rafizi

Bakal Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, memberi amaran pendekatan “khemah besar” oleh pembangkang untuk menang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) boleh menjadikan Pakatan Harapan (PH) berdepan pertelagahan seperti mana berlaku kepada Muafakat Nasional (MN) ketika ini.
Bercakap kepada pemberita pada Kongres PKR, hari ini, Rafizi berkata, PH tidak sepatutnya bekerjasama dengan mana-mana parti, terutama pihak yang mempunyai perbezaan ideologi hanya kerana mahu menang pilihan raya.
“Saya tidak percaya kita patut melayan mana-mana ‘Tom, Dick and Harry’ hanya kerana ingin menang pilihan raya,” katanya.
Rafizi berkata, selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018, gabungan itu mengambil keputusan membentuk kerjasama dengan PAS di bawah MN, dan diikuti Bersatu susulan keruntuhan kerajaan PH. Namun, beliau menambah, kerjasama berkenaan tidak kekal lama.
“Mereka bercakap berkenaan ‘perpaduan ummah’ apabila membawa PAS dan Bersatu bersama. Bagaimanapun, kita dapat lihat apa yang berlaku. Hubungan ini tidak kekal lama.
“Saya berpendapat kebijaksanaan konvensional bahawa parti perlu bekerjasama tanpa mengira perbezaan dasar hanya kerana mahu berkuasa, bukan apa dimahukan pengundi.”
Katanya, pengundi mahu kepada dasar jelas mengatasi perkara lain dan mereka sanggup menunggu untuk itu.
“Kita melalui empat tahun untuk menyatukan pelbagai parti yang berbeza kepentingan dan personaliti, dan akhirnya rakyat yang menerima kesannya,” katanya sambil menambah rakyat dan pengundi kini menginginkan tumpuan diberikan kepada kompetensi dan idea.
“Mari tumpukan kepada perkara itu, walaupun sekiranya kita berdepan pertandingan banyak penjuru.”
Umno dan PAS membentuk gabungan MN, pada September 2019 sebagai persefahaman pilihan raya dengan tujuan utama menyatukan dua parti Melayu-Muslim untuk mencabar PH yang ketika itu berkuasa.
Bagaimanapun, Umno dan PAS sering bertelagah lebih setahun lalu berhubung masa depan gabungan itu kerana PAS berkeras mahu menjalin kerjasama dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).