Pendandan, tukang gunting rambut ‘rayu’ kerajaan benar operasi

Pendandan, tukang gunting rambut ‘rayu’ kerajaan benar operasi

Pendandan dan tukang gunting rambut seluruh negara menggesa kerajaan membenarkan mereka beroperasi semula dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diamalkan sebelum pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.

Pendandan rambut Michael Poh yang mengetuai Persatuan Pendandan Rambut Bersatu Asia, berkata tidak ada satu pun kluster membabitkan salun atau kedai rambut dilaporkan berlaku sejak dibenarkan beroperasi selepas PKP 1.0 yang berakhir pada Mei tahun lalu.

”Kami mematuhi SOP ketat dalam premis seperti memakai pelitup muka, pelindung muka dan sarung tangan ketika menyediakan perkhidmatan.

“Jadi, tidak ada sebab untuk menghalang kami daripada beroperasi,” katanya.

Di bawah SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN), salun rambut hanya dibenarkan beroperasi selepas Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara.

Mereka hanya boleh menyediakan perkhidmatan menggunting rambut.

Menurut Poh, kira-kira 75,000 pendandan dan tukang gunting rambut menderita kerana hilang sumber pendapatan akibat penutupan perniagaan sepanjang tiga PKP dalam tempoh 16 bulan lalu.

“Kami memerlukan sumber kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Sementara itu, penasihat persatuan berkenaan, Winnie Loo berkata pendandan dan tukang gunting rambut menjadi ‘mangsa’ kerana hanya dibiarkan menunggu sepanjang PKP.

“Kami sepatutnya berasa selamat duduk di rumah. Tetapi mereka yang mencetuskan kluster yang berada di luar sana menyebabkan kami tidak berasa selamat,” katanya.

Loo turut berkata ada segelintir pendandan rambut diminta melakukan perkhidmatan mereka dari rumah ke rumah tetapi bimbang didenda kerana melanggar SOP.

“Kumpulan kami menghantar dua surat kepada kerajaan bulan lalu dan berharap mereka dapat membenarkan kami beroperasi tetapi nampaknya (kerajaan) tidak mendengar keluhan ini,” katanya.

Sumber | FMT