Pemilik premis hiburan dikompaun RM25,000 ingkar SOP PKP

Pemilik premis hiburan dikompaun RM25,000 ingkar SOP PKP

Pemilik premis hiburan dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 selepas didapati menganjurkan aktiviti hiburan di Sweet Lounge, Jalan Changkat Thambi Dollah, Jalan Pudu semalam.

Difahamkan, premis yang beroperasi pada pukul 3 petang itu turut berselindung dengan menggunakan lesen perniagaan restoran untuk mengaburi pihak berkuasa.

Dalam serbuan pada pukul 4 petang itu telah dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya turut menahan lapan individu terdiri daripada tiga wanita warga tempatan, lelaki warga tempatan(3), wanita Vietnam(1) dan seorang lelaki warga Bangladesh.

“Kesemua mereka yang berusia 35 hingga 46 tahun itu didapati sedang minum minuman keras ketika serbuan dijalankan.

“Mereka telah melakukan kesalahan dengan mengingkari prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, lima pelanggan warga tempatan telah dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang di bawah Peraturan 18 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana terlibat dalam aktiviti terlarang.

“Sementara pemilik premis telah dikenakan kompaun sebanyak RM25,000 kerana menganjurkan aktiviti di premis hiburan.

“Dua warga asing telah dibawa balik ke IPD Dang Wangi untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 18(1) PPPDPPB (No.4) 2021,” jelasnya. -K! ONLINE.