Pemecatan Khairuddin sebagai AJK PAS, ini komen Nik Abduh

Jika pemecatan Khairuddin Aman Razali daripada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bukan kerana perbezaan pendapat dan disebabkan masalah disiplin dalaman, penjelasan perlu diberikan kepada umum, tegas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Ahli Parlimen Bachok itu berkata, penjelasan harus diberikan kepada umum, bukan hanya kepada ahli parti sahaja kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan PAS.
Katanya, Khairuddin adalah antara figura utama pemimpin PAS selain merupakan bekas menteri dan juga adalah setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS.
“Pengguguran kerana isu disiplin adalah satu pencalaran kepada akhlak berjemaah. Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan pencalaran tersebut. Diri beliau sendiri, para penyokong beliau atau pastinya Majlis Syura Ulamak PAS juga.
“Justeru, saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera. Ia boleh membina persepsi yang baik kepada parti PAS. PAS sekarang memerintah negara. Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus,” katanya di Facebook.
Nik Abduh berkata, apabila Setiausaha Agung PAS dengan lantang menolak alasan pengguguran Khairuddin atas faktor perselisihan antara Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain, iaitu masalah disiplin dalam parti.
“Biasanya tindakan disiplin parti didahului oleh kebisingan di luar. Lalu orang ramai terutama orang surat khabar akan menunggu-nunggu apakah tindakan parti terhadap ahli parti yang buat bising-bising,” tambah beliau.
Khairuddin dilantik ke AJK Kerja PAS Pusat selepas pemilihan parti tahun lepas yang menyaksikan beliau tewas.
Terdahulu, Khairuddin dilaporkan digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kurang dua bulan selepas dilantik memegang jawatan itu.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengesahkan perkara itu tanpa mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu digugurkan.
Susulan itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengesahkan bahawa pemecatan Khairuddin daripada Jawatankuasa PAS Pusat bukan kerana perbezaan pendapat.
Malah katanya, tidak pernah seseorang dalam PAS dipecat kerana berbeza pendapat ketika mengulas pengguguran Khairuddin di sebalik khabar angin mengatakan ia berkaitan dengan isu PN dan MN.
Sumber | FMT