Pembatalan Ordinan Darurat : Menteri Umno ‘dicucuk hidung’, kata Puad

Pembatalan Ordinan Darurat : Menteri Umno ‘dicucuk hidung’, kata Puad

Menteri Umno dituntut supaya memberikan penjelasan kepada parti berhubung pembatalan Ordinan Darurat berkuatkuasa 21 Julai, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi.

Puad berkata, sikap mereka yang terus membelakangkan Presiden Ahmad Zahid Hamidi dan tidak mahu berkongsi maklumat dengan parti membawa kesan negatif kepada Umno.

Katanya, jika Menteri Umno hadir dalam mesyuarat untuk memutuskan Ordinan Darurat berkenaan, mereka seharusnya membuat pendirian meminta penangguhan terlebih dahulu kerana perlu mendapatkan nasihat parti.

“Kini imej Umno terpalit dengan teruk. Tindakan membatalkan Ordinan Darurat itu dianggap membelakangkan Perlembagaan Persekutuan. Tidakkah itu menyukarkan Umno.

“Menteri Umno termasuk Timbalan Perdana Menteri (Ismail Sabri Yaakob) akan dicop sebagai Menteri dicucuk hidung,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata keputusan mengejut kerajaan semalam turut mengheret imej Umno sebagai anggota kerajaan bersama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Ia adalah isu besar dan melibatkan perlembagaan. Ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Sebelum ini parti dan Presiden Umno juga tidak dimaklumkan lebih awal bahawa Kerajaan memohon perkenan untuk perisytiharan darurat pada Januari 2021.

“Sebagai Menteri yang datang dari Umno mereka patut mendapatkan pandangan parti dan apa pendirian parti sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Beliau bagaimanapun yakin keputusan kerajaan PN membatalkan Ordinan Darurat berkenaan tidak direstui parti.

“Saya yakin parti tidak menyokong tindakan kerajaan yang terbaru ini. Ia tidak mengikut perlembagaan. Ini menjadikan Umno serba salah. Umno dituduh bersekongkol dengan keputusan kerajaan yang tidak popular.

“Contoh paling jelas ialah pada 25 Julai, Presiden Umno telah keluarkan kenyataan media iaitu semua Menteri, Timbalan Menteri dan Pengerusi GLC akan letak jawatan sekiranya darurat disambung selepas 1 Ogos 2021. Rupa-rupanya ia dibatalkan lebih awal secara senyap-senyap. Apa motif mereka,” kata Puad.

“Lebih parah, apabila Umno turut dikaitkan dengan pihak yang tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong. Apakah Agong sudah tandatangan dan mana “Wartanya”?,” soal Puad lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat mengumumkan bahawa Ordinan Darurat dibatalkan pada 21 Julai lalu dan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk meneruskan Proklamasi Darurat selepas 1 Ogos.

Sumber | FMT