Pembangkang ‘diseru’ sokong kerajaan jika PM hilang sokongan

Pembangkang ‘diseru’ sokong kerajaan jika PM hilang sokongan. Ahli Parlimen pembangkang diseru memberikan sokongan kepada Perdana Menteri untuk menerajui kerajaan sehingga habis penggal jika ada parti yang menarik sokongan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, ini bagi mengelak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dalam waktu terdekat.
Katanya, berdasarkan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini akibat parti memerintah hilang sokongan, PRN itu dilihat hanya untuk mengembalikan kuasa UMNO selain jelas bukan bertujuan untuk menjaga kepentingan rakyat. Jika berlaku penarikan sokongan terhadap Perdana Menteri sehingga menyebabkan pembubaran Kerajaan Pusat saya menyeru agar ahli-ahli Parlimen pembangkang kekal memberi sokongan kepada Perdana Menteri sehingga habis penggal.
“Kita telah melihat PRN Melaka dan Johor yang matlamatnya hanya untuk mengembalikan kuasa UMNO dan bukannya bertujuan untuk kepentingan rakyat. Kita lihat perkara itu satu pembaziran, sepatutnya tidak diadakan PRN kerana ia menyusahkan dan mengelirukan rakyat, tunggu hingga habis penggal pemerintahan.
“Oleh sebab itu, Pas Pusat telah menyatakan pendiriannya untuk tidak turut serta membubarkan DUN di negeri-negeri yang dikuasainya sehingga habis penggal jika PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat dan ini juga turut dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH),” katanya ketika ditemui pemberita pada penyerahan sumbangan 200 pek makanan asas dan edaran Jalur Gemilang di Dewan Orang Ramai Kampung Ayer Hitam di sini hari ini.
Sementara itu Razman berkata, Pas Perak mungkin akan bertanding 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, jumlah itu berdasarkan jumlah selepas pembahagian sama rata dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Perak.
“Bagaimanapun keputusan muktamad mengenai jumlah kerusi dan calon negeri akan ditentukan Pas Pusat. Pas Perak telah pun membuat perancangan dan perbincangan awal tentang perkara itu,” katanya.
Razman berkata, enam buah negeri dijangka tidak akan membubarkan DUN sekiranya berlakunya pembubaran Parlimen dalam jangka masa terdekat dan Pas telah menetapkan untuk menunggu sehingga habis penggal bagi membubarkan DUN bagi negeri-negeri dikuasainya iaitu Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Kita juga turut difahamkan tiga negeri yang dikuasai PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor turut mengambil pendekatan sama. Jadi enam negeri ini tidak akan melakukan pembubaran sehingga habis penggal,” katanya.