Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor punyai 33 saman tertunggak

Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor punyai 33 saman tertunggak

Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor punyai 33 saman tertunggak. Pemandu lori muatan habuk kayu yang merempuh 11 kenderaan di Tambak Johor pada Khamis mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, suspek berusia 34 tahun itu turut mempunyai enam saman yang masih tertunggak.

Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor punyai 33 saman tertunggak

Pemandu lori yang merempuh 11 buah kenderaan di Tambak Johor dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Jumaat untuk mendapatkan perintah reman selama tiga hari.

Beliau memberitahu, suspek kini direman selama tiga hari bermula Jumaat.

“Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Suspek yang memakai baju T berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah di sini pada jam 10 pagi semalam.

Pada Khamis, media melaporkan lori berkenaan yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura pada jam 9.25 pagi.

Raub berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

“Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima.

“Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

“Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melengkapkan audit ICOP termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.