Pemandu Jabatan Perhutanan Pahang cedera diserang lelaki berparang

Pemandu Jabatan Perhutanan Pahang cedera diserang lelaki berparang

Pemandu Jabatan Perhutanan Pahang cedera diserang lelaki berparang.

Seorang pemandu Jabatan Perhutanan Negeri Pahang cedera akibat diserang seorang lelaki dipercayai Orang Asli yang bersenjatakan parang di Bukit Penchorong, Bera di Pahang, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera Supt Mansor Samsudin berkata lelaki berusia 55 tahun dan bertugas di Pejabat Hutan Daerah Bera itu mendakwa diserang semasa membawa kakitangan jabatan melakukan lawatan berkala di Hutan Simpan Bukit Penchorong.

Pemandu Jabatan Perhutanan Pahang cedera diserang lelaki berparang

Beliau berkata mangsa mendakwa kejadian berlaku pada 12.15 tengah hari semasa kenderaan dinaikinya berhenti di laluan masuk ke kampung Orang Asli di situ untuk memeriksa sebuah lori yang membawa peralatan membina rumah.

“Suspek dikatakan muncul secara tiba-tiba dari arah belakang kenderaan jabatan semasa mangsa sedang bercakap dengan pemandu dan kelindan lori tersebut dari dalam kenderaan jabatan dengan keadaan tingkap dibuka separuh.

“Suspek didakwa meletakkan parang sepanjang 40 inci (1.01 meter) di leher mangsa dan akibat terkejut, mangsa telah menepis parang itu menyebabkan pergelangan tangan kanannya cedera,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mansor berkata mangsa segera menutup tingkap dan mengunci pintu kenderaan kerana bimbang terhadap suspek yang dilihat cuba membuka pintu belakang pemandu.

Semasa kejadian, suspek dikatakan menjerit mengatakan barangan membina rumah dalam lori itu adalah miliknya yang hendak digunakan untuk membina rumah ibadat.

Mansor berkata mangsa telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar 32 Bera sebelum membuat laporan di Balai Polis Bandar 32 pada hari sama.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.