“Pelik betul tradisi kaum ini…” 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

“Pelik betul tradisi kaum ini…” 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

“Pelik betul tradisi kaum ini…” 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat.

MADAGASCAR merupakan negara pulau kedua terbesar di dunia. Walaupun berdekatan dengan Afrika, namun dari sudut sejarah, geologi, biologi dan demografi ternyata Madagascar berbeza dari benua tersebut termasuklah dari segi amalan dan budaya.

Penduduk di sini memiliki ritual unik dipanggil Famadihana, iaitu hari mengingati kematian. Upacara yang juga dikenali sebagai ‘peralihan tulang’ ini dilakukan bagi tujuan untuk mewujudkan rasa cinta dan memperingati keluarga yang telah meninggal dunia.

Famadihana yang sudah wujud sejak abad ke-17 merupakan tradisi unik yang cuma dilakukan antara bulan Jun hingga September setiap tujuh tahun sekali oleh orang-orang dari suku Malagasi. Menjelang hari keraian ini, seluruh keluarga sama ada dari jauh dan dekat akan datang berkumpul.

Profesor antropologi, Maurice Bloch, yang sebelum ini pernah mengkaji budaya Famadihana memberitahu bahawa upacara tersebut merupakan peluang dan kesempatan untuk ahli keluarga berkumpul. Dengan kata lain, ia sebuah kebangkitan untuk kembali bersama ahli keluarga yang sudha tiada, sama seperti sebelum kematiannya.

Tradisi ini didasari rasa cinta dan sayang pada kaum kerabat yang sudah tiada. Atas sebab itu, mereka sanggup menempuh perjalanan jauh dengan seharian berjalan kaki semata-mata untuk menghadiri perayaan tersebut.

"Pelik betul tradisi kaum ini..." 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

Apabila semua keluarga berkumpul, mereka akan membongkar kuburan dengan berhati-hati untuk mengambil bungkusan berisi mayat dan tulang leluhur. Selepas mereka mendapatkannya, anggota keluarga akan berteriak gembira sambil mengangkat mayat di atas kepala mereka.

Robert, salah seorang pengamal Famadihana, memberitahu dengan bangga bahawa tulang temulang itu ialah nenek, pakcik dan makciknya. Beliau dan semua sanak saudara bersorak gembira menjunjung bungkusan mayat dan tulang-tulang tersebut sambil berdansa.

"Pelik betul tradisi kaum ini..." 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

Kegembiraan mereka ini sebenarnya bersebab. Kerana berdasarkan kepercayaan suku Malagasi, orang yang meninggal dunia dianggap tidak sepenuhnya mati. Akan tetapi, semangat serta roh si mati dikatakan masih bertahan dan mampu berkomunikasi dengan kaum kerabat yang masih hidup.

Oleh demikian, mayat leluhur perlu dihormati dengan cara – digali keluar, digantikan persalinan baru menggunakan kain sutera, disiram air anggur dan minyak wangi sebelum menutupnya kembali.

Setelah mayat disiapkan, upacara akan bertukar menjadi sebuah pesta. Muzik dimainkan dan seluruh penduduk mulai menari-nari bersama mayat. Bagi sesetengah orang, inilah peluang untuk mengenang kembali kebaikan dan kenangan bersama si mati semasa hayatnya. Segala perkhabaran keluarga juga disampaikan kepada si mati di samping meminta kesejahteraan buat semua kaum kerabat yang masih hidup.

Selepas puas melepaskan rindu, mayat akan dikembalikan semula ke perkuburan masing-masing bersama iringan muzik sebelum matahari terbenam. Setelah selesai ritual terakhir, makam ditutup dan menanti tujuh tahun lagi untuk digali semula.

"Pelik betul tradisi kaum ini..." 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

"Pelik betul tradisi kaum ini..." 7 tahun sekali akan korek kubur, menari bersama mayat

Selama tempoh tujuh tahun sebelum upacara seterusnya tiba, mereka akan mulai menabung sedikit demi sedikit kerana kos perbelanjaan untuk keraian itu adalah tinggi. Apatah lagi ia melibatkan persiapan rumit termasuklah membeli kain sutera mahal untuk membungkus si mati dan memberi makan minum kepada ratusan tetamu.

Acara Famadihana merupakan ritual yang dianggap sangat penting bagi suku Malagasi. Bagaimanapun pada zaman sekarang, ramai generasi muda telah meninggalkan amalan itu kerana berasa terbeban dengan kos yang terlalu mahal. Tambah pula, sebahagian dari suku berkenaan sudah semakin celik tentang hal-hal kematian di mana mereka yakin memelihara tulang belulang leluhur atau bercakap dengan si mati ialah perbuatan sia-sia.

Tradisi Famadihana mempunyai persamaan dengan ritual Ma’Nene yang dilakukan oleh masyarakat Tana Toraja di Sulawesi Selatan, Indonesia. Dalam upacara ini, mayat mumia turut digali oleh ahli keluarga, dicuci, digantikan pakaian baru, didandan dan dibawa berjalan keliling kampung. Walaupun nampak sama, tetapi amalan Famadihana secara literalnya berbeza daripada budaya tersebut.