Pelancaran PN di Kelantan bukti pendidikan jadi alat parti politik

Pelancaran PN di Kelantan bukti pendidikan jadi alat parti politik

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) mengajak rakyat menolak kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 ini, bagi menyelamatkan sistem pendidikan negara daripada dipergunakan.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali memberi contoh, perhimpunan besar di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini, membuktikan institusi pendidikan sewenang-wenangnya menyalahgunakan kuasa.

 

Katanya, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) ditukar kepada pelancaran parti Perikatan Nasional (PN) peringkat negeri yang disempurnakan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, pelancaran itu turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan anggota Exco Kerajaan Kelantan termasuk pemimpin akar umbi Pas.

Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali

“Rupanya kehadiran begitu ramai kerana ibu bapa terpedaya dengan jemputan pihak sekolah yang meminta mereka hadir ke majlis perasmian berkelompok mesyuarat PIBG seluruh sekolah dalam Parlimen Tanah Merah.

“Mereka juga diumpan dengan hadiah cabutan bertuah sebuah kereta, motosikal, barangan elektrik dan lebih menarik hidangan ratusan kambing golek dan pelbagai aneka makanan serta minuman.

“Maklum, menteri dari Bersatu, Ahli Parlimen dari Bersatu, pembesar Pas Kelantan pula rakan gabungan PN, maka digunakan kuasa untuk memperalatkan guru dan PIBG bagi meramaikan kehadiran pada majlis pelancaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah perdana Putra di Semerak dekat sini, malam tadi.

Turut hadir, Naib Presiden Putra, Datuk Dr. Aziz Jamaludin dan Pengerusi Biro Undang-Undang Putra, Nasir Abdullah.

Menurut Ibrahim, parti yang ada kuasa sekarang ini telah mengamalkan budaya politik wang sebagai daya tarikan dan dorongan untuk mendapatkan sokongan.

Katanya, dari mana penganjur PN dapatkan wang untuk adakan perhimpunan dan jamuan besar-besaran kalau tidak menguna duit kerajaan.

“Namun, Putra tidak pelik kerana Barisan Nasional (BN) yang memerintah lebih 60 tahun juga kecundang dalam PRU14, walaupun menggunakan duit dan agensi kerajaan untuk mendapatkan undi.

“Ini menunjukkan rakyat sudah cerdik dan anak muda tidak boleh diperbodohkan lagi. Bagi makan, mereka makan, bagi nombor bertuah, hamper mereka ambil. Bagilah apa saja, rakyat ambil, tapi undi belum tentu,” katanya.

Beliau menjelaskan, Malaysia yang tersohor dahulu sudah menjadi negara yang tidak elok lagi di mata dunia akibat daripada kerajaan yang hiruk pikuk.