Pekerja kedai serbaneka diludah dan cuba dicederakan

Pekerja kedai serbaneka diludah dan cuba dicederakan

PETALING JAYA – Satu video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki meludah dan cuba mencederakan seorang pekerja kedai serbaneka kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) baru-baru ini.

Video berdurasi 30 saat itu menunjukkan lelaki terbabit meludah ke arah mangsa serta cuba menumbuk mangsa yang juga seorang wanita kerana enggan mendaftar aplikasi MySejahtera sebelum masuk ke kedai tersebut seperti yang disarankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mematuhi SOP.

Akibat daripada perbuatan lelaki itu, mangsa cuba mempertahankan diri dan berhadapan dengan individu tersebut sebelum sempat dileraikan oleh rakan sekerja mangsa.

Dalam pada itu, seorang orang awam menarik individu itu ke tepi dan mengarahkan mangsa menelefon polis kerana individu itu cuba membuat kecoh serta mahu mencederakan mangsa.

Beberapa komen orang awam di dalam Facebook Kes Jenayah Malaysia turut mencerca tindakan individu tersebut kerana gagal mengawal kemarahan.

Menurut seorang netizen Johan Msbmr telah meninggalkan komen :’Tapi perempuan ini pun sangat berani kerana mencekak baju individu itu.

Turut meninggalkan komen AT Arasu berkata :’Tangkap dan bawa individu tersebut ke muka pengadilan. Salah tetap salah tidak kira bangsa. Kalau perangai kurang ajar begini patut di ambil tindakan yang setimpal.

Sehingga pukul 12.30 tengahari hari ini video tersebut telah dikongsi sebanyak 176 pengguna Facebook. – K! ONLINE