Pekan Rantau Panjang ‘lumpuh’ akibat banjir

Pekan Rantau Panjang ‘lumpuh’ akibat banjir

Pekan Rantau Panjang ‘lumpuh’ akibat banjir. Zon Bebas Cukai di Pekan Rantau Panjang, di sini yang sinonim sebagai syurga beli belah lumpuh sepenuhnya apabila dinaiki air akibat limpahan Sungai Golok sejak pagi ini.

Ini susulan hujan lebat berterusan sejak semalam yang menyebabkan air Sungai Golok naik dalam masa singkat sehingga mencecah 10.42 meter melepasi paras bahaya sembilan meter.

Pekan Rantau Panjang 'lumpuh' akibat banjir

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati laluan masuk ke pekan itu dan kawasan berhampiran seperti Kampung Tersang, Kampung Bagus, Kampung Kubang Jejulok dan Kampung Banggol Kulim hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Penduduk Kampung Kubang Jejulok, Ibrahim Mamat, 65, berkata, peningkatan paras air Sungai Golok kali ini terlalu mendadak dan boleh disifatkan sebagai luar biasa kerana berlaku pada penghujung Februari.

“Air mula masuk ke dalam rumah saya pada pukul 6 pagi ini, jadi saya ambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) lebih awal sebelum keadaan bertambah buruk.

“Saya tidak sangka air naik dengan cepat, mujurlah kami sekeluarga sempat berkemas. Biasanya bulan Februari dan Mac kawasan ini tidak banjir, namun, keadaan berbeza kali ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Imran Ismail ketika dihubungi pula berkata, operasi memindahkan mangsa banjir bermula pagi ini dan masih giat dilakukan sehingga petang.

“Ketika ini semua anggota berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir menjadi lebih buruk menjelang malam ini,” katanya.

 

Turut baca