Peja dikatakan berjiwa besar, lepas jawatan setelah kurang majoriti

Peja dikatakan berjiwa besar, lepas jawatan setelah kurang majoriti

PASIR GUDANG: Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berjiwa besar kerana melepaskan jawatan Menteri Besar Perak dengan rela hati selepas gagal mendapat sokongan majoriti sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, semalam.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sikap tersebut wajar dipuji kerana beliau tidak membubarkan DUN Perak bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Jelasnya, perkara yang berlaku dalam kancah politik di Perak adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

“Saya memuji sikap beliau yang positif dengan mengundurkan diri. Saya juga bersetuju tindakannya yang tidak membubar DUN.

Ini bermakna PRN tidak akan berlaku lebih lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Sepakat, Masai, di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Faizal gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang diusulkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Bharu, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Daripada 59 ADUN, hanya 10 yang menyokong manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagi yang ditetapkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Tambah Hassan, sehubungan itu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu perlu berani dengan membenarkan usul undi percaya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dibuat di Parlimen.

Sumber : https://www.utusan.com.my/berita/2020/12/peja-berjiwa-besar-lepas-jawatan-rela-hati/