Peguam mangsa rogol dalam lokap mahu polis didakwa

Peguam mangsa rogol dalam lokap mahu polis didakwa

Peguam seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dirogol seorang tahanan dalam lokap polis, mahu kedua-dua anggota polis yang bertugas ketika kejadian didakwa di bawah Akta Kanak-kanak 2001.

Alan Ling, yang juga seorang senator, berkata Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana individu membiarkan kanak-kanak di bawah jagaan mereka terdedah kepada penderaan, termasuk penderaan seksual.

Undang-undang memperuntukkan denda hingga RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis tidak seharusnya hanya menggantung (tugas) polis berkenaan tetapi menangkap mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Remaja berusia 16 tahun itu dirogol oleh pesalah juvana ketika berada dalam tahanan polis di Balai Polis Miri Central di Sarawak minggu lalu.

Menurut laporan polis yang dibuatnya, remaja itu berkata dia ditahan pada 8 Januari kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian haram.

Semasa dia ditahan di sel yang berasingan dengan tahanan lelaki, mangsa berkata pintu sel lelaki tidak berkunci.

Perogol itu didakwa pada 12 Jan lalu atas kesalahan tersebut dan mengaku bersalah.

Semalam, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata dia mahukan semua individu yang terlibat dalam kejadian itu didakwa di mahkamah, namun tidak mengulas lanjut jika ia termasuk anggotanya yang cuai.

Dua anggota polis yang bertugas pada masa itu telah digantung tugas.

Pesuruhjaya polis Sarawak Aidi Ismail berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut memandangkan kamera litar tertutup di lokap berkenaan hanya berfungsi untuk pemantauan dan bukan untuk merakam.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/559505