Pegawai perangkaaan berdepan 43 pertuduhan terima suapan

Pegawai perangkaaan berdepan 43 pertuduhan terima suapan

Seorang pegawai Jabatan Perangkaan Negeri Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen di Shah Alam hari ini atas 43 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM32,751.20 berkaitan projek pembekalan kontrak dan kelulusan tuntutan elaun perjalanan lima kakitangan jabatan berkenaan.

Bagaimanapun, Noor Azlin Jaafar, 37, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, wanita itu didakwa menerima suapan wang berjumlah RM18,731.20 dengan mengarahkan seorang kakitangan jabatan terbabit menyediakan sebut harga berkaitan projek pembekalan kontrak kepada tiga syarikat dan satu daripadanya milik saudara lelaki tertuduh.

Antara projek pembekalan kontrak itu adalah percetakan dokumen soal selidik, perkhidmatan reka bentuk dan mencetak borang perdagangan.

Bagi 38 pertuduhan lain, Noor Azlin didakwa menerima suapan wang berjumlah RM14,020 bagi meluluskan tuntutan elaun perjalanan dalam negeri yang tidak wujud membabitkan lima kakitangan jabatan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Negeri Selangor, Shah Alam antara 21 Mac hingga 9 Dis tahun lepas mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab menawarkan jaminan RM20,000 bagi lima pertuduhan suapan berkaitan pembekalan kontrak dan RM50,000 bagi 38 pertuduhan meluluskan tuntutan elaun kakitangan, masing-masing dengan seorang penjamin.

Fadhli turut memohon syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan wanita itu perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Peguam PG Cyril pula memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan pendapatan tertuduh sebanyak RM6,000 sebulan digunakan untuk menyara anak kembarnya berumur 10 tahun selain menanggung ibu bapa wanita bergelar ibu tunggal itu.

Rozilah membenarkan Noor Azlin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan suapan berkaitan pembekalan kontrak dan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan meluluskan tuntutan elaun kakitangan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh supaya menyerahkan pasportnya kepada mahkamah selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan menetapkan 19 Jan tahun depan untuk sebutan semula.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/555497