Pegawai kanan IPD Kota Tinggi bakal berdepan tindakan

Pegawai kanan IPD Kota Tinggi bakal berdepan tindakan

JOHOR BAHRU – Pegawai kanan, beberapa pegawai dan anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bakal berdepan tindakan tegas termasuk boleh dibuang kerja susulan pembongkaran kegiatan pengedaran dadah di dalam lokap IPD itu baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor telah diarah membuka kertas siasatan tatatertib terhadap mereka yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

“Tindakan yang akan kita ambil terhadap mereka bergantung kepada hasil siasatan, mungkin tindakan paling tinggi yang akan kita ambil ialah buang kerja atau tindakan lain.

“Saya sudah cakap dari awal, jika mana-mana pegawai tidak ada integriti atau akauntabiliti, tindakan akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.

Pada 29 November lepas, polis menahan sembilan anggota daripada IPD berkenaan termasuk seorang wanita melibatkan konstabel dan koperal yang bertugas di lokap berkenaan serta seorang wanita orang awam kerana disyaki mengedar dadah di dalam lokap itu.

“Wanita (orang awam) yang berusia 23 tahun itu dipercayai anak kepada seorang tahanan di dalam lokap. Hasil ujian saringan juga mendapati dua anggota polis itu dan orang awam positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, setiap tahanan reman selepas seminggu dimasukkan ke lokap perlu menjalani ujian air kencing tetapi perkara berkenaan tidak dilakukan IPD berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan sekiranya terdapat mana-mana pegawai atau anggota lain yang terlibat dalam kes tersebut dan tindakan tegas akan diambil.

Sementara itu, katanya, dari 1 Januari hingga 30 November lalu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor membuat 17,914 tangkapan atas pelbagai kesalahan dadah.

“Dalam tempoh itu juga sebanyak 2.66 tan dadah dirampas melibatkan nilai RM29.61 juta selain RM13.56 juta harta disita,” katanya.

Artikel Penuh :https://www.sinarharian.com.my/article/113117/BERITA/Semasa/Pegawai-kanan-IPD-Kota-Tinggi-bakal-berdepan-tindaka