Pegawai bomba kongsi detik jadi ‘bidan terjun’ wanita bersalin dalam kereta

Pegawai bomba kongsi detik jadi ‘bidan terjun’ wanita bersalin dalam kereta

Menjadi bidan terjun menyambut kelahiran seorang bayi dalam kereta, adalah pengalaman sukar dilupakan pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik, Norsyuhadah Ahmad, sepanjang lebih 10 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Norsyuhadah, 33, adalah pegawai yang membantu menyambut bayi perempuan seorang wanita yang melahirkan anak di dalam kereta di perkarangan BBP Kota Anggerik di sini, malam tadi.

Beliau berkata, pengalaman membantu wanita bersalin itu adalah yang pertama buat dirinya, mencetuskan 1,001 perasaan yang sukar untuk diungkapkan.

“Saya masuk bertugas pada jam 8 malam dan dimaklumkan ada wanita yang dalam kecemasan mahu bersalin. Secara kebetulan malam tadi hanya saya seorang sahaja anggota wanita yang bertugas.

“Berikutan itu, saya diminta melihat serta membantu apa yang patut sementara menanti ketibaan ambulans yang sudah dihubungi. Ketika menghampiri untuk membantunya, saya turut berdebar kerana tiada pengalaman menyambut kelahiran bayi sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya hanya bertawakal dan bersiap sedia menyambut bayi itu apabila wanita berkenaan memaklumkan kepala bayi sudah mulai keluar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Norsyuhadah mengakuinya, beliau pada mulanya agak panik melihat bayi serta air ketuban berlumuran di tangannya, namun bertukar lega melihat wanita itu tersenyum sejurus ditunjukkan bayi yang baru dilahirkan.

“Saya memang amat bersyukur dan gembira melihat wanita itu tersenyum walaupun baru melalui kesakitan yang amat sangat ketika melahirkan.

“Ia pengalaman baharu dan memberi 1,001 rasa pada saya kerana selama ini tidak pernah mengendalikan kes seperti ini,” katanya yang sudah hampir 10 tahun berkhidmat di balai berkenaan.

Terdahulu, wanita berusia 29 tahun serta suaminya dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam daripada rumah mereka di Puncak Alam.

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan ke hospital, air ketuban wanita itu pecah menyebabkan suaminya bertindak memasuki perkarangan balai yang terletak di Seksyen U8 Bukit Jelutong untuk mendapatkan bantuan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata kejadian itu berlaku sekitar jam 7 malam dan wanita itu selamat melahirkan pada jam 8.28 malam.

Wanita dan bayinya kemudian diserahkan kepada petugas perubatan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) yang tiba sejurus kemudian.

Sumber | BH

COMMENTS