Pasangan bercerai ditahan bersama dadah RM2.15 juta

Pasangan bercerai ditahan bersama dadah RM2.15 juta

KUALA LUMPUR – Kegiatan sepasang suami isteri yang sudah bercerai aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Cheras di sini pada Isnin lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.15 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun di tempat letak kereta kondominium berkenaan pukul 5.30 petang.

Katanya, hasil pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki berkenaan, pihak polis merampas dadah disyaki jenis ketamin seberat 16.5 gram.

“Hasil soal siasat kita menahan seorang wanita berusia 45 tahun di sebuah unit kondominium berkenaan pada pukul 7.10 malam.

“Pemeriksaan dilakukan di kediaman itu menemui beberapa jenis dadah iaitu ketamin seberat 5,635 gram, serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 29,032 gram , cecair MDMA seberat 31,350 milimeter,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Turut dirampas, 1,000 pil Erimin 5 serta 1,900 pil ekstasi dalam sebuah kereta Proton Wira.

Menurutnya lagi, kesemua dadah yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM2.15 juta dan boleh dibekalkan kepada 39,000 pengguna.

“Dalam serbuan itu juga, kami menyita sebuah kenderaan dianggarkan bernilai RM5,000 serta wang tunai berjumlah RM4,700.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dudah bercerai dan aktif mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak dua bulan lalu,” ujarnya

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2020/12/16/pasangan-bercerai-ditahan-bersama-dadah-rm2-15-juta/