Pas tidak gentar hadapi PRU15 – Abdul Hadi

Pas tidak gentar hadapi PRU15 – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Meskipun menyertai kerajaan bukan melalui mandat rakyat pada pilihan raya lalu, Pas menegaskan tidak gentar untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, apa yang penting adalah wakil-wakil rakyat yang diberi mandat menjalankan amanah masing-masing.

“Walaupun kita mengambil kerajaan melalui wakil-wakil rakyat, dan bukan undian rakyat secara langsung, (namun) kita menentukan (Kabinet) melalui wakil-wakil rakyat yang diundi oleh rakyat.

“Apa yang penting adalah wakil rakyat ini menjalankan tugas di kawasan masing-masing dan itu yang perlu kita gerakkan.

“Dengan sebab itu kita tidak gentar untuk menghadapi PRU15 kerana mengerakkan wakil-wakil rakyat kita yang dipilih rakyat walaupun dia sudah pindah parti,” katanya dalam sesi Dialog Pas bersama media, di sini, pada Ahad.

Dalam masa yang sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata beliau sentiasa memantau tugas yang dimainkan oleh pemimpin parti itu dalam Kabinet kerajaan.

Tegas beliau, Pas telah terlibat secara langsung dalam mengerakkan pentadbiran kerajaan secara kolektif.

“Walaupun dalam masa yang singkat kita memegang jawatan, kita membuat pemantauan dari masa ke masa di setiap kementerian dan menerima aduan daripada semua pihak yang mengadu tentang Kabinet yang kita pegang.

“Sebaik sahaja kita mendapat maklumat, kita bertindak dengan sebab itu kita mengatasi segala masalah yang dihadapi,” ujarnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/pas-tidak-gentar-hadapi-pru15-abdul-hadi-272961