PAS sudah ‘ready’ perangi UMNO

PAS sudah ‘ready’ perangi UMNO

PAs sudah ‘ready’ perangi UMNO.  Pas mengulangi pendirian akan berlawan habis-habisan di 27 kerusi Parlimen sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) masih kekal mahu bertanding secara solo menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Menegaskan perkara tersebut, Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas tiada pilihan melainkan perlu bersedia ‘berperang’ dengan BN, jika parti itu berpendirian mahu bergerak sendiri.

“Kita (Pas) menyedari sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen kalau sekiranya tidak diadakan perundingan, kerusi itu akan dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana itu saya melihat perlu diadakan kerjasama menyeluruh yang kita harapkan, tapi Pas sudah ready (bersedia) kalau sekiranya BN buat keputusan sebagaimana diumumkan sebelum ini, kita ready untuk berlawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Himpunan 5K dan Jentera Pilihan Raya Pas Melaka di pekarangan Pejabat Badan Perhubungan Pas Melaka di Semabok di sini malam tadi.

Tuan Ibrahim berkata, buat masa ini Pas berpendirian untuk terus kekal bersama komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

Menurutnya, Pas berdiri teguh bersama PN namun masih bersikap terbuka untuk melihat ruang kerjasama dengan mana-mana pihak.

Ditanya mengenai isu logo, beliau menegaskan keputusan tersebut masih belum dibincangkan secara khusus tetapi pada prinsipnya, Pas kekal menggunakan logo PN.

“Walau bagaimanapun, kita akan bincang secara spesifik mengenai logo khususnya. Kerana sudah ada permintaan di negeri-negeri Pantai Timur apabila mereka mencadangkan agar logo parti digunakan.

“Tapi perkara ini perlu dibincang diperhalusi di peringkat kepemimpinan parti dan insya-Allah parti akan buat keputusan,” jelasnya.

Jelasnya, Pas juga akan meneliti isu penggunaan logo sekiranya ada perwakilan membawa usul berkenaan pada Muktamar Tahunan Ke-68 di Kedah awal bulan depan.

PAS sudah 'ready' perangi UMNO