PAS macam pelacur, kata Ku Li

PAS macam pelacur, kata Ku Li

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan, menyelar kenyataan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, yang menyifatkan PAS, yang dipimpin oleh Abdul Hadi Awang dan berada dalam gabungan Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional, sebagai “pelacur”.

Wan Saiful berkata gaya bahasa digunakan pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu keterlaluan dan bukanlah adab yang baik dan sudah pasti tidak akan disenangi ramai pihak.

“Ini bukan isu parti mana, tidak kira parti mana. Adab ikhtilaf wajib dijaga. Gaya bahasa yang digunakan Tengku Razaleigh adalah keterlaluan.

“Jika berbeza pandangan sekalipun, apakah perlunya seorang yang begitu lama dengan Umno memanggil PAS sebagai ‘pelacur’?

“Ini bukan adab yang baik. Sudah pasti ramai yang tidak senang. Politik yang kita perlu bawa ialah politik yang sihat dan bertamadun.

“Gelaran pelacur sama sekali tidak wajar digunakan,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful mengulas laporan The Malaysian Insight, yang memetik Tengku Razaleigh berkata, “PAS seperti pelacur”, susulan tindakan parti itu yang menurutnya “sekejap DAP, sekejap Semangat 46”.

Tengku Razaleigh juga berkata Umno perlu menentang PAS dalam pilihan raya umum ke-15 akan datang.

Baginya PAS tidak boleh lagi dipercayai. Bahkan, berkata sejak awal penubuhan parti Islam itu, PAS tidak pernah berhenti menjadi “pengacau” kepada Umno.

Ahli Parlimen Gua Musang itu juga mendakwa PAS tidak ikhlas apabila bekerjasama dengan Umno, walaupun kedua-dua parti berkenaan sudah menubuhkan MN sejak dua tahun lalu.

Ini bukan kali pertama Tengku Razaleigh membangkitkan isu kerjasama dengan PAS.

Pada November tahun lalu, beliau berkata, Umno wajar mengkaji semula hubungannya dengan PAS dan PPBM dalam PN pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya, hubungan itu tidak membawa manfaat kepada rakyat.

Manakala itu, Umno Gua Musang pada Januari lepas lalu turut meluluskan usul mengkaji semula hubungan dengan PAS sekiranya parti berkenaan tidak mengutamakan hubungan dengan Umno dalam MN. – FMT