Pas kluk klek faktor UMNO cari kerjasama baharu

Pas kluk klek faktor UMNO cari kerjasama baharu

Sikap Pas masih berdolak-dalik dalam mengemukakan sokongan kepada pembentukan kerajaan baharu Perak diterajui UMNO kelak, didakwa menjadi faktor parti itu mungkin terpaksa bekerjasama dengan parti pembangkang terdiri Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), kata sumber dalaman UMNO Perak.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak enggan dinamakan berkata, punca utama tiada kata putus pembentukan kerajaan baharu Perak sehingga kini disebabkan tiga ADUN Pas masih tidak memberikan jawapan konkrit sama ada mahu kekal menyokong kerajaan diterajui UMNO atau tidak.

Menurutnya, hal ini disebabkan tiga wakil rakyat Pas berkenaan meminta tempoh sehingga petang esok bagi menunggu keputusan mesyuarat kepimpinan tertinggi parti itu berkenaan polemik penubuhan kerajaan baharu Perak.

“Mereka kata mahu tunggu keputusan mesyuarat (pimpinan) Pusat Pas, tetapi Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Sultan Perak (Sultan Nazrin Shah) difahamkan mahu isu pembentukan kerajaan baharu diselesaikan pada sebelah pagi esok…Pas seolah-olah berdolak-dalik.

“Sehubungan itu, saya tidak menafikan usaha mengekalkan koalisi kerajaan lama terdiri UMNO, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pas adalah sukar. Jadi pilihan terbaik, UMNO mungkin terpaksa menubuhkan kerajaan campuran baharu bersama Amanah dan PKR sahaja,”katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menolak kemungkinan parti itu akan bekerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP untuk menubuhkan kerajaan baharu Perak.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu disahkan hilang sokongan majoriti selepas usul undi percaya yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan majoriti ADUN Perak.

Usul undi percaya yang dibawa oleh Datuk Abd Manaf Hashim (BN-Pengkalan Baharu) itu mendapat 10 undi sokongan, 48 undi menolak manakala satu undi rosak menerusi undi belah bahagi.

Tiga ADUN Pas di Perak, Razman Zakaria (Gunong Semanggol); Mohd Akmal Kamaruddin (Selama) dan Khalil Yahaya (Kubu Gajah) dipercayai merupakan antara 10 ADUN mengundi menyokong Ahmad Faizal.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak dan Mohd Akmal dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri kerajaan PN Perak, manakala Khalil dipilih menggalas jawatan Timbalan Speaker DUN Perak.

ADUN UMNO itu mendakwa, dari satu sudut berbeza, Bersatu lebih dilihat terbuka untuk berkompromi dengan UMNO dalam mengekalkan koalisi kerajaan asal meskipun UMNO terlibat menjatuhkan Menteri Besar daripada parti itu.

Ditanya sama ada kemungkinan kerjasama politik baharu UMNO, Amanah dan PKR akan beri impak terhadap peluang parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), ADUN UMNO berkenaan mengakui kesannya memang besar terutama terhadap pengundi Melayu.

“But we have no choice. The government must be formed by tomorrow morning. Paling penting kita hendak ‘masuk’ PRU15 sebagai kerajaan.

“Lagipun, sekiranya PH meletakkan syarat UMNO perlu menerima sokongan blok pembangkang secara en bloc termasuk DAP, saya difahamkan DAP hanya bersetuju untuk menyokong pembentukan kerajaan tetapi tidak akan menuntut jawatan Exco.

“Jadi, soal keresahan DAP akan menguasai kerajaan baharu gabungan UMNO-PH tidak wujud. Menteri Besar masih daripada UMNO dan kami parti paling dominan dalam kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin sewaktu dihubungi menegaskan beliau bersama dua lagi ADUN Pas menyerahkan sepenuhnya keputusan menyokong pembentukan kerajaan baharu Perak kepada pucuk kepimpinan Pas Pusat.

Menurutnya, pucuk kepimpinan parti itu akan bermesyuarat dalam masa terdekat dan satu keputusan mengenai pendirian terkini parti terhadap hala tuju tiga wakil rakyat parti itu di Perak akan diumumkan segera.

“Susulan itu, saya minta semua pihak bertenang dan jangan mengemukakan andaian melulu berkenaan pendirian wakil rakyat Pas.

“Kepada semua pemimpin lantikan politik terutama ahli majlis dan ahli Jawatankuasa Pembangunan Ketua Kampung (JPKK) di peringkat akar umbi, teruskan berkhidmat seperti biasa demi kepentingan rakyat,” katanya.

Berita penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/113567/BERITA/Politik/[EKSKLUSIF]-Pas-dolak-dalik-faktor-UMNO-cari-kerjasama-baharu