PAS akur tuntutan Muhyiddin, guna logo PN di PRN Johor

PAS akur tuntutan Muhyiddin, guna logo PN di PRN Johor

PAS akur tuntutan Muhyiddin, guna logo PN di PRN Johor. PAS dan Bersatu mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor di bawah panji Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin berkata semua parti dalam komponen akan bertanding di bawah satu logo gabungan parti itu.

“Bahawasanya, PAS dan Bersatu dengan penuh kesungguhan dan iltizam ke arah mewujudkan kestabilan politik dalam negara, telah membuat ketetapan bersama menyertai PRN Johor sebagai PN,” katanya pada sidang media resolusi muzakarah PAS-Bersatu yang diadakan selama dua hari bermula semalam, di sini.

Turut hadir Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan serta Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata resolusi itu juga menegaskan sokongan PAS dan Bersatu dalam kerajaan persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi.

“…di atas nilai integriti, anti rasuah dan berkebajikan,” katanya.

Parti itu juga melahirkan rasa kesal terhadap percaturan politik segelintir pihak yang menutup pintu perpaduan, menggugat kestabilan politik dan mempertaruhkan nasib rakyat.

Ia dipercaya merujuk kepada pendirian Umno yang mahu bergerak solo dalam PRN Johor dan hanya menawarkan empat kerusi kepada PAS jika mahu bekerjasama dalam pilihan raya itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata soal pembahagian kerusi dan juga berapa kerusi yang akan ditandingi PN akan diputuskan dalam sehari dua lagi.

“Kita jalankan muzakarah dalam suasana cukup baik, harmoni, saling menghormati satu sama lain.

“Kita akan memutuskan perkara itu dalam sehari dua,” katanya ketika ditanya mengenai agihan kerusi dan jumlah kerusi yang mahu ditandingi PN.

Muhyiddin juga berkata apa paling penting adalah hasrat PN untuk mendapatkan sokongan dan mandat rakyat untuk menerajui Johor.

Beliau juga akan mempertimbangkan strategi seimbang dalam meletakkan calon veteran dan muda.

“Gabungan orang pengalaman dan anak muda, wanita dan pemuda akan kita halusi kerana di Johor ramai tokoh yang agak berkelayakan untuk dicalonkan,” katanya.