Paras air Sungai Golok melepasi tahap amaran, penduduk di ingatkan berwaspada

Paras air Sungai Golok melepasi tahap amaran susulan menerima taburan hujan yang tinggi sejak dua hari lalu.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 7 pagi ini, paras air Sungai Golok mencatat bacaan 8.03 meter melepasi tahap amaran iaitu lapan meter.
Ketua Balai Bomba Rantau Panjang, Imran Ismail, berkata kebiasaannya air sungai mula melimpahi tebing dan membanjiri seluruh pekan Rantau Panjang apabila melepasi paras 10 meter.
“Jika aras air sungai terus naik berkemungkinan beberapa kampung di sekitar lembangan sungai Golok mula dinaiki air.
“Setakat ini, beberapa jalan di kampung terbabit sudah dinaiki air separas 0.2 sehingga 0.4 meter tetapi keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Imran berkata, tinjauan pihaknya juga menunjukkan air sungai deras berikutan peningkatan paras air, justeru penduduk kampung dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di sungai untuk mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Pihak kami bersedia daripada segi fizikal dan mental dalam menghadapi musim tengkujuh dengan norma baharu memandangkan negara kini berhadapan dengan pandemik COVID-19.
“Selain menasihati setiap anggota bertugas, saya juga menyeru semua masyarakat supaya patuh prosedur operasi standard jika banjir melanda.
“Banjir boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika taburan hujan terus meningkat, jadi penduduk setempat perlu mengambil langkah dengan berpindah awal bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.